TIADA LAPORAN LAMAN SESAWANG KERAJAAN DIGODAM
TIADA LAPORAN LAMAN SESAWANG KERAJAAN DIGODAM
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang laporan terdapat laman sesawang kerajaan yang digodam setakat ini selepas ancaman dibuat kumpulan penggodam Anonymous Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata pihaknya melalui Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan kegiatan seumpama itu dapat dibendung.
GAMBAR IHSAN MALAYSIAKINI
Beliau berkata sekiranya tindakan penggodaman dilakukan dengan niat untuk mensabotaj sistem keselamatan negara, siasatan akan dilaksanakan mengikut Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan penjara sehingga 15 tahun, lapor Bernama.
“Sekiranya terdapat laporan polis berkenaan kegiatan sebegini (menggodam), siasatan juga boleh dilaksanakan di bawah Seksyen 4 atau Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Kumpulan penggodam itu membuat ancaman menerusi satu klip video yang tular di platform media sosial baru-baru ini.
Antara dakwaan Anonymous Malaysia ialah sistem keselamatan Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi digodam hingga hari ini.
GAMBAR HIASAN
Zainuddin turut mengharapkan orang ramai untuk memberikan sokongan dan kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penggodaman.
“Masalah kebocoran maklumat serta penggodaman sistem kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan bahan ketawa kerana ia mempunyai kesan terhadap rakyat dan negara ini. Sama-samalah kita berganding bahu bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara ini terus terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata PDRM sedar dan mengambil serius dengan ancaman kumpulan penggodam terbabit.
“Kami sedar (ancaman penggodaman) sebab itu, ia sedang dipantau oleh JSJK,” katanya.