TIADA KEPERLUAN KEKALKAN JAWATAN PENGERUSI
KUANTAN: Keputusan BERSATU untuk memansuhkan jawatan Pengerusi adalah tepat dan bersesuaian dengan kehendak parti ketika ini.
Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus berkata, sebagai parti yang mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini, BERSATU perlu menunjukkan kesepakatan dan menyokong penuh kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
TIMBALAN Ketua Badan Pimpinan BERSATU Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus
“Memandangkan tidak ada keperluan untuk terus wujudkan jawatan itu, maka keputusan secara bersama perlu dibuat dan wajar (jawatan Pengerusi) dimansuhkan.
“Lagi pun, (bekas) Pengerusi sudah tidak bersama kita dan BERSATU perlu terus bergerak ke hadapan untuk memantapkan lagi barisan kepimpinan sedia ada dan juga peringkat akar umbi.
“Jika sebelum ini jawatan Presiden dan Pengerusi dilihat seolah-olah mempunyai peranan sama, jadi apabila kita mansuhkan jawatan Pengerusi, maksudnya BERSATU hanya ada seorang ketua iaitu Presiden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusuf yang mendedahkan antara perkara akan dibincangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan parti itu hari ini ialah cadangan memansuhkan jawatan Pengerusi.
Mohd Redzuan berkata, cadangan itu secara dasarnya sudah dipersetujui kebanyakan ahli MPT BERSATU dan wakil pimpinan BERSATU negeri.