TIADA KAWASAN IPU TIDAK SIHAT
TIADA KAWASAN IPU TIDAK SIHAT
KUALA LUMPUR: Sehingga jam 2 petang semalam, tiada kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar, berkata perkembangan itu disebabkan aktiviti pemadaman yang dipertingkatkan serta hujan di kawasan yang terbakar.
“Selain itu, 20 kawasan didapati mencatat IPU baik manakala 48 lagi mencatat IPU sederhana
“Berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, pembenihan awan hanya akan dilakukan apabila IPU tidak sihat dicatat melebihi bacaan 150 dalam tempoh 24 jam.
“Operasi pembenihan awan ini tertakluk kepada kelulusan agensi berkenaan dan faktor seperti kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai bagi memastikan kejayaan dan keselamatan operasi,” katanya kepada BH Online.
Terdahulu, Norlin melalui kenyataan media hari ini, memaklumkan Selangor, Pahang dan Johor diisytiharkan kawasan Larangan Pembakaran Terbuka berkuat kuasa serta-merta sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.
Pengisytiharan itu dibuat selaras peruntukan mengikut Seksyen 29AA (2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001.
Serentak dengan itu semua pihak dilarang melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.
Mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Norlin berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengesan kebakaran baru di Rompin, Pahang semalam dan tindakan pemadaman masih dijalankan.
“Turut dikesan semalam ialah kebakaran tanah gambut bersebelahan Kawasan Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Gebeng Pahang yang kini masih dalam siasatan,” katanya.