TIADA KAITAN LULUS BELANJAWAN & GAJI PENJAWAT AWAM
NAJIB NAFI KENYATAAN DIBUAT TENGKU ZAFRUL
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan kenyataan yang mengatakan gaji penjawat awam tidak akan dibayar sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan.
DATUK Seri Najib Razak
Menurut laporan Malaysiapost, Najib berkata, tiada kaitan antara sokongan bersyarat boleh menyebabkan gaji tidak dibayar seperti yang dikatakan pihak tertentu termasuk Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Tidak benar bahawa jika bajet tak lulus, maka gaji penjawat awam dan front-liner tak dapat dibayar.
“Sokongan bersyarat juga boleh bermakna kelulusan berpilih dan perbelanjaan berpilih,” katanya menerusi Facebook.
Sementara itu, Najib berkata beliau tidak ambil hati dengan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berhubung isu Belanjawan 2021.
“Terima kasih Ustaz. Saya tak pernah ambil hati dan kita tetap kawan,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerisauan utama beliau ialah bajet berkenaan cuma 2.5 peratus atau RM8 bilion lebih tinggi berbanding perbelanjaan kerajaan tahun 2019.
“Jika masa itu, bajet 2019 tak dapat selamatkan ekonomi negara pada masa tanpa COVID-19 dan merosot sehingga paling teruk sejak 11 tahun lalu.. bagaimana pula bajet 2021 yang cuma 2.5 peratus lebih besar mampu selamatkan ekonomi rakyat pada ketika wabak COVID-19 mengganas seluruh dunia?
“Itulah sebab saya tuntut pengeluaran Akaun 1 KWSP dan lanjutan moratorium.
“Dan ianya juga benar dan diperakui dalam laporan ekonomi bahawa pemulihan KDNK bagi suku Ke-3 2020 yang baru diumum minggu lepas telah banyak dibantu oleh pengeluaran KWSP melalui skim i-Lestari yang dicadangkan saya masa itu serta moratorium pinjaman secara pukal dan secara automatik (yang sudah tamat),” katanya.
Katanya, kedua-dua cara ini tidak membabitkan perbelanjaan kerajaan dan tidak memberi impak kepada defisit negara.