Tiada hasrat untuk mansuh Tol
RAUB – Kementerian Kerja Raya (KKR) belum berhasrat untuk memansuhkan tol Gombak dan Karak bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemansuhan tol berkenaan akan membebankan kerajaan mendapatkan dana bagi kerja-kerja penyelenggaraan.
“Saya harap semua pengguna jalan raya faham sekiranya tol ini dimansuhkan akan membebankan kerajaan untuk dapatkan sumber kewangan.
” Ini kerana kita perlu pastikan standard jalan yang sepatutnya dibuat dan tidak kurang pentingnya untuk kita pastikan keselamatan pengguna jalan raya.
” Andai kata kita kurang dana nanti risau kita tidak dapat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan sempurna dan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Perasmian Pembukaan Sebahagian Seksyen 5A Lingkaran Tengah Utama (LTU) Raub ByPass sepanjang 6.4 kilometer yang turut disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dekat sini hari ini.
Isnin lalu ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) menggesa kerajaan
memansuhkan sekurang-kurangnya dua tol masing-masing di Gombak dan Karak sebagai usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas bagi pengguna LPT.
Menurutnya, langkah itu penting mengambil kira kewujudan empat tol yang terpaksa dilalui pengguna LPT menuju Pantai Timur iaitu Gombak, Bentong dan Karak serta di laluan keluar menyebabkan kesesakan yang melampau.
Dalam pada itu, Alexander berkata, KKR sentiasa mencari jalan bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang meningkat.
Menurutnya, beliau akan berbincang dengan pegawai dari KKR untuk memaklumkan kepada pihak konsesi untuk tidak melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pada waktu puncak dan musim perayaan.
“Macam tahun lepas pun menjelang Aidilfitri saya turun ke tol Gombak dan memberi arahan kepada pihak konsesi untuk tidak buat apa-apa kerja yang memerlukan jalan di tutup atau dijadikan satu lorong di masa puncak ataupun di musim cuti perayaan.
” Ini kerana ia akan memberi masalah kesesakan jalan raya, walau bagaimanapun kerja-kerja ini perlu dibuat cuma carilah masa lain yang lebih sesuai,” jelasnya.-SAHIH