Tiada hari raya buat bapa OKU pelihara anak sakit usus
Tiada hari raya buat bapa OKU pelihara anak sakit usus
JERANTUT : Seorang bapa berstatus duda dan juga Orang Kurang Upaya (OKU) cekal mengharungi kehidupan harian dengan memelihara dua orang anaknya berusia 4 dan 8 di Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini, hari ini.
Bapa OKU itu, Mat Noh Mohamad, 54, telah berpisah dengan isterinya sejak tiga tahun lalu, memberi kesan dalam kehidupannya kerana turut memelihara anak bongsunya yang tidak dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.
Anaknya, Mohd Adam Mat Noh, yang berusia 4 tahun mengalami kerosakan di bahagian usus perut telah dikesan sejak dilahirkan apabila anggota dalaman itu pendek dan tersumbat.
Bapanya berkata, keadaan kerosakan ususnya semakin ketara apabila berusia dua tahun, anaknya tidak dapat membuang najis melalui dubur seperti orang normal yang lain.
“Kesakitan yang ditanggung oleh Mohd Adam sehingga ini dia hanya berdiam diri, malu apatah lagi tidak berminat untuk memiliki baju dan kasut baharu bagi menyambut hari raya.
“Dia sering kelihatan sugul dan tidak ceria untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi kerana menderita sebahagian usus perutnya keluar dan cuma dibantu dengan pemakaian beg stoma untuk membuang najis,” katanya.
Katanya, selepas pembedahan kali pertama di Hospital Tengku ampuan Afzan (HTAA), Kuantan kesihatan anaknya masih tidak berubah dan usus masih tidak berfungsi dengan baik sejak dua tahun lalu.
“Pembedaan kali kedua tahun lalu sebahagian ususnya dibiarkan keluar dengan pemakaian beg stoma dan keadaan tidak selesa dan sakit apabila bergesel dengan pakaian malahan langsung tidak mampu berlari serta bermain seperti kanak-kanak lain.
“Saya masih menunggu untuk dipanggil oleh pihak hospital untuk memasukkan semula usus ke dalam perut dan tidak mengetahui mengenai nasibnya pada masa akan datang,” katanya.
Mat Noh berkata, ketika anaknya menjalani pembedahan sebelum ini dan tinggal di wad selama lapan bulan, dia sudah berbelanja sebanyak RM4,000 untuk berulang alik, penginapan dan makanan.
“Sebelum berpisah dengan isteri, saya bekerja sebagai buruh, tetapi tidak mampu bekerja berat kerana pergerakannya terhad berikutan tulang bahagian paha kanan pendek.
“Saya berhenti kerja selepas berpisah dengan isteri kerana untuk memberikan perhatian sepenuhnya kepada Mohd Adam yang sakit dan persekolahan abangnya setiap hari,” katanya.
Katanya, dia menerima bantuan bulanan sebanyak RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai status pemegang kad OKU, tetapi masih tidak mencukupi cuma untuk keperluan dapur sahaja.
“Saya juga berharap JKM dapat memberikan bantuan bulanan kepada Mohd Adam sekurang-kurangnya dapat untuk membeli tiga kotak beg stoma bernilai RM450 untuk kegunaan dalam tempoh sebulan.
“Bagi saya sejak berpisah dan menjaga anak yang sakit, tiada ertinya hari raya, malah untuk membeli pakaian baharu untuk hari rayapun tidak mampu kerana tidak mempunyai sumber pendapatan,’ katanya.
Orang ramai dan dermawan yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Mat Noh Mohamad menerusi talian 017 9305176 atau terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 06004-41-00010494-6.-SAHIH.