TIADA ALASAN TANGGUH UNDI18
TIADA ALASAN TANGGUH UNDI18
KUANTAN: Kerajaan tidak mempunyai sebarang alasan untuk menangguhkan pelaksanaan Rang Undang-undang Undi 18 (RUU Undi18) kerana ia sudah. diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, dua tahun lalu.
Keputusan kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penangguhan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 pada 25 Mac lalu memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak berani berdepan suara anak muda dalam menentukan landskap politik negara.
Sekretariat Gerak Undi18 Pahang diketuai Timbalan Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) negeri, Ahmad Zarul Afiq Arifudin meminta kerajaan Pahang menyatakan pendirian secara jelas mengenai keputusan SPR menangguhkan Undi18.
“Kita nak tahu sama ada kerajaan Pahang menyokong atau membantah pengumuman SPR ini dan alasan pihak kerajaan negeri terhadap keputusan (pendirian) itu.
“Begitu juga dengan keputusan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) meminda Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri pada November lalu berkaitan usul melantik ahli dewan undangan negeri (ADUN) secara lantikan (tanpa proses pilihan raya), kita (Sekretariat Gerak Undi18 Pahang) harap kerajaan Pahang mempertimbangkan untuk memilih dalam kalangan belia sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan Undi18,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Sidang media itu turut dihadiri sembilan wakil belia, termasuk ADUN Ketari, Young Syefura Othman; Pengerusi MUDA Pahang, Malani Manimaharan dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) Perikatan Pelajar Malaysia Global, Immaculata V James.
Ahmad Zarul Afiq turut mengemukakan cadangan supaya kerajaan Pahang meminda Perkara 19 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan mengenai had umur ADUN dari 21 tahun kepada 18 tahun, sebagai bukti komitmen kerajaan Pahang menyokong pelaksaan Undi18.
“Walaupun sidang DUN tidak dapat diadakan berikutan pelaksanaan proklamasi darurat, namun jika kita lihat Perkara 11(b) dan 11(c) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri mempunyai kuasa menjalankan kuasa eksekutif dan perundangan.
“Jadi, kita harap kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya demi menyokong pelaksanaan Undi18,” katanya.-SAHIH