TERUS PATUHI SOP, ELAK KENA KOMPAUN
HANYA KES KEMATIAN, SAKIT KRONIK BOLEH MOHON RENTAS SEMPADAN
TEMERLOH: Kerajaan hanya membenarkan orang awam merentas sempadan jika mempunyai alasan kukuh atau mempunyai surat daripada majikan.
Selain daripada alasan berkenaan, tidak ada pengecualian diberikan kepada mana-mana pihak dan tindakan kompaun boleh dikenakan kepada mereka yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan kerajaan, hujung minggu lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, kerajaan membuat keputusan itu selepas mengambil kira pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said
“Semuanya (keputusan) berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan dan MKN.. jadi, kita minta semua pihak untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Kita hanya benarkan mereka yang sakit kronik dan memerlukan rawatan segera, serta permohonan merentas negeri atas alasan kematian ibu bapa sahaja.. selain daripada itu, kita tidak benarkan.
“Saya sendiri perlu mendapatkan kebenaran (rentas negeri) untuk balik ke kawasan.. sekarang ada sidang Dewan Rakyat, kalau kira memang mereka (pihak berkuasa) tidak galak kami balik ke kawasan,” katanya yang juga ahli Parlimen Kuala Krau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Deepavali Parlimen Kuala Krau, di sini, petang tadi.
DATUK Seri Ismail Mohamed Said (empat dari kanan) bersama ADUN Jengka, Shahril Azman Abd Halim (dua dari kiri) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Deepavali Parlimen Kuala Krau
Pada majlis itu, seramai 300 ketua keluarga daripada masyarakat India menerima sumbangan yang dikumpulkan melalui peruntukan pejabat Ahli Parlimen Kuala Krau dan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Jenderak dan Jengka.
Ketika ditanya mengenai penambahbaikan SOP bagi sambutan Deepavali, Ismail berkata, perkara itu akan diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selewat-lewatnya Khamis ini.