TERUNG JADI PUNCA PENDAPATAN
PKP, PKPP BUKA MATA USAHA TANAM TERUNG SEBELAH RUMAH
JERANTUT: Sejak mengusaha tanaman terung di kawasan tanah kosong seluas 0.1 hektar telah memberi pulangan yang agak lumayan bagi menampung kehidupan pekebun itu sekeluarga ketika pergerakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengusaha kebun terung itu, Mohd Ali Saifuddin Samad, 49, memilih tanaman terung melalui program Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) bersebelahan rumahnya sejak bulan Julai tahun ini kini mampu menampung perbelanjaan harian keluarganya.
Katanya, sebelum ini dia tidak mempunyai sebarang kemahiran berkaitan pertanian tetapi ternyata berbaloi apabila sudah tiga kali tanamannya dituai dan sudah menembusi pasaran di Pasar Selayang (Selangor) dan bandar Jerantut serta sekitar kampungnya.
“Saya menanam terung selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPB) kira-kira empat bulan lalu dengan menanam benih terung di dalam 1,021 beg poli menggunakan kaedah fertigasi di kawasan tanah kosong berdekatan rumah.
“Saya bermodalkan sebanyak RM5,000 untuk membeli benih terung, beg poli, peralatan tanaman dan baja yang harganya agak tinggi tanpa memohon bantuan mana-mana agensi kerajaan,” katanya di Kampung Labu, Mukim Tembeling Tengah, Jerantut.
Katanya, dia dan isterinya, Norazimah Abdullah Sidek, 38, terus berusaha walaupun pada awalnya masih kurang yakin akan hasilnya nanti di samping bertanyakan rakan petani lain, kini dia mula bertambah pengetahuan mengenai pengurusan tanaman setelah menjalani kursus myGAP anjuran Jabatan Pertanian.
“Saya berdepan sikit masalah kerana terung yang ditanam secara fertigasi agak cerewet pengurusan tanamannya kerana ia memerlukan penjagaan baja yang mencukupi membabitkan perbelanjaan yang tinggi berbanding ditanam di batas tanah.
“Dengan bantuan lima orang anak, kami mengurus tanaman, akhirnya menampakkan hasil apabila terung boleh dipetik selepas kira-kira empat bulan dan boleh dipasarkan, tuaian pertama mengeluarkan kira-kira 300 kilogram dan pemborong dari Pasar Selayang datang sendiri ke kebun kami dan mengambil terung yang siap diisi dalam bakul dengan harga RM4 sekilogram,”katanya.
Kata Norazimah, dia menggalakkan suaminya untuk mencuba nasib di bidang pertanian kerana kehidupan mereka tertekan setelah bermula tempoh penguatkuasaan PKP mengakibatkan kehilangan pendapatan apabila tidak dapat bekerja mengambil upah di kebun sawit yang agak jauh serta tuntutan perbelanjaan yang tinggi.
“Saya bersyukur kerana sudah tahu cara mengurus tanaman ini setelah memperoleh hasil pertama dan sehingga ini tanaman terung masih mengeluarkan hasil dan mula dipungut secara berperingkat untuk dihantar ke Pasar Selayang dan mana-mana kedai runcit dan pasar di bandar Jerantut minggu ini.
“Usaha suami dan dibantu oleh anak-anak berhasil dan mula berhasrat untuk mencuba tanaman seperti cili kulai di samping mengekalkan terung berasaskan permintaan yang tinggi di pasaran,” katanya.
Katanya, menjangkakan hasil terung yang bakal dipungut mencecah 900 kilogram sehingga bulan Disember ini memandangkan tanaman itu masih mengeluarkan hasil.
Sementara itu, Penghulu Mukim Tembeling Tengah, Zulkefly Zaadun Zabir berkata, Mohd Ali Saifuddin antara 33 orang petani di mukim tersebut yang terbabit dengan program myGAP anjuran Jabatan Pertanian dan Pejabat Penghulu Mukim itu.
Beliau berkata, petani lain yang terlibat dengan program myGAP ialah dari FELDA Sungai Retang , Kampung Labu dan Kampung Gol, manakala projek nangka madu dan lembu di Kampung Lubuk Payung di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tembeling Tengah.