Tersedar daripada tidur selamatkan penghuni sebuah rumah ditimpa tanah runtuh
Tersedar daripada tidur selamatkan penghuni sebuah rumah ditimpa tanah runtuh
JERANTUT – Penghuni sebuah rumah, Abdul Kassim Sulaiman (75 tahun) menyedari rumahnya mula ditimpa tanah runtuh yang datang dari sebuah bukit bersebelahan rumahnya dan sekali gus menyelamatkan empat orang cucu, anak lelakinya dan menantu yang berada di dalam rumah itu di Kampung Perlok, Hulu Cheka, dekat sini.
Abdul Kassim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi, pada Ahad, tiba-tiba elektrik rumahnya terputus bekalan dan dia tersedar dan cuba meninjau di belakang rumahnya.
“Saya tergerak untuk bangun setelah api (elektrik) terpadam dan meninjau di bahagian belakang dapur rumah, saya lihat tanah sudah menimpa dinding bahagian dapur dan sisi rumah.
“Saya gerakan anak, cucu dan menantu untuk pergi ke sebuah bilik, tiba-tiba air masuk ikut celahan dinding konkrit dan turut berganjak seterusnya retak,” katanya hari ini.
Katanya, anak lelaki saya terus membawa semua anak dan isterinya termasuk dia keluar rumah pergi ke rumah anaknya berdekatan rumah mangsa.
“Saya bersyukur, semua selamat dan keadaan kerosakan rumah saya dianggarkan 50 peratus ranap termasuk perabot di bahagian dapur,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah turut melawat rumah yang hampir ranap ditimpa tanah runtuh itu ekoran hujan lebat berterusan beberapa hari sebelum kejadian itu, hari ini.
Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah jerantut, Yunus Mohammad Abdu Rahman Japar dan Penghulu Mukim HUlu Cheka Khairul Akhma.
“Penilaian kerugian sedang diteliti untuk membantu mangsa yang terkesan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut melawat di sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Jerantut selain menyampaikan bantuan makanan kepada wakil penduduk untuk dihantar ke Felda Lepar Utara 3, dekat sini, hari ini.-SAHIH.