Terperangkap 2 jam akibat fenomena kepala air
Terperangkap 2 jam akibat fenomena kepala air
Hulu Selangor: Tujuh individu yang menjalani aktiviti merentas sungai di Sungai Kedondong, Batang Kali, dekat sini, terperangkap kira-kira dua jam di tengah sungai itu, hari ini susulan fenomena kepala air.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.55 malam.
Beliau berkata, sepasukan sembilan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu (KKB) dikejarkan ke lokasi dan tiba pada 8.27 malam.
“Sebaik tiba, kami mendapat laporan seramai sembilan lelaki menjalani aktiviti merentas sungai di kawasan berkenaan.
“Hanya dua orang sahaja berjaya melepasi sungai sebelum fenomena kepala air berlaku secara tiba-tiba, manakala tujuh lagi terperangkap di tengah sungai,” katanya menerusi kenyataan, di sini, lapor HM online
Norazam berkata, mangsa yang terperangkap dilaporkan selamat kerana berada di kawasan berbatu.
Bagaimanapun, katanya, proses merentas sungai menjadi sukar susulan arus air yang masih deras.
“Ketika ini, kerja menyelamat sedang dilaksanakan untuk mendapatkan semua mangsa,” katanya.