TERPAKSA RISIKOKAN BAYI SENDIRI KERANA…
TERPAKSA RISIKOKAN BAYI SENDIRI KERANA…
Tumpat: “Saya terpaksa merisikokan bayi sendiri apabila dia perlu dibawa bersama ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sebaik saya disahkan positif Covid-19,” kata Noraini Ahmad Razlan.
Noraini, 29, dari Kampung Teluk Renjuna berkata, bayi lelakinya, Ali Rafiki Rostam yang berusia empat bulan tidak dijangkiti virus itu namun terpaksa dibawa kerana masih menyusu badan selain tiada individu yang boleh menjaganya jika ditinggalkan.
“Anak sulung saya berusia lima tahun ditinggalkan di rumah di bawah jagaan kakak ipar manakala suami pula bekerja di Machang.
“Memang rasa risau mengenangkan bayi saya ini berada dalam kelompok kami yang positif di PKRC tapi apa boleh buat, saya serahkan kepada Allah,” katanya ketika ditemui di Jeti Kok Majid di sini, hari ini sebelum diangkut menaiki bot pasukan anggota bomba dari jeti kampungnya menuju ke tanah besar untuk dibawa ke PKRC.
Noraini antara 38 penduduk dari empat kampung dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Sungai Pinang yang dipindahkan dalam operasi pemindahan hari ini.
Selepas tiga hari tiada proses pemindahan, hari ini Jeti Kok Majid kembali ‘meriah’ dengan proses pemindahan yang bermula jam 3 petang tadi membabitkan pesakit berusia sembilan hingga 70 tahun.
Ketua BBP Pengkalan Kubor merangkap Penyelaras Pergerakan Pengangkutan Darat dan Air, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail berkata, setakat ini lebih 270 penduduk yang dikenalpasti positif Covid-19 sudah dipindahkan ke beberapa PKRC ditetapkan, lapor HM online.
Raja Arisan berkata, selain urusan pemindahan pesakit Covid-19, pihaknya juga terbabit dengan penugasan membawa mereka yang selesai dikuarantin di PKRC kembali ke rumah masing-masing.
“Selain daripada penugasan itu, kami juga terbabit secara langsung dengan proses pengebumian mangsa Covid-19,” katanya.