TERLEPAS TALI GANTUNG, LUKMAN MAHU DALAM PENGAJIAN AGAMA
TERLEPAS TALI GANTUNG, LUKMAN MAHU DALAM PENGAJIAN AGAMA
PUTRAJAYA: Ketika ‘Doktor Ganja’ Muhammad Lukman Mohamad menjalani pemenjaraan, kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan moratorium penangguhan hukuman mati sementara mengkaji penghapusan hukuman mati sepenuhnya atau sebahagiannya.
“Saya sangat risau dengan hukuman mati. Tetapi saya masih mempunyai harapan. Saya berharap yang terbaik untuk saya.
“Saya berharap yang terbaik supaya undang-undang mengenai ganja dapat direformasikan.
“Amat buruk jika mereka terus menjatuhkan hukuman mati kerana memiliki ganja,” katanya kepada Malaysiakini pada wawancara pada Rabu lalu.
Lukman menceritakan nasib seorang banduan lain yang telah menghabiskan 32 tahun terakhirnya di penjara kerana memiliki sekitar tiga kilogram ganja.
“Kita perlu mengubah undang-undang.”
Bagi banduan menunggu hukuman mati, katanya ada satu sel untuk setiap orang tetapi ketika dalam tahanan reman, sebuah bilik dengan ukuran yang sama menempatkan lapan atau 10 atau lebih tahanan.
“Ini menjadikannya sangat sukar untuk makan atau tidur dan anda harus menyesuaikan diri dengan ruang sempit,” katanya.
Pada 2018, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman mati terhadap Lukman yang mana kesnya mendapat perhatian meluas.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar ketika itu berkata akan menulis rayuan kepada Peguam Negara bagi mendapatkan pengampunan berdasarkan merit kes Lukman itu.
Nurul berhujah, ganja semakin diterima di banyak negara sebagai tumbuhan yang mempunyai banyak faedah, terutama dalam rawatan pelbagai penyakit kronik.
Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri pada 18 September 2018 pula berpendapat kerajaan patut menyemak semula kes Lukman.
Sementara itu, menteri undang-undang waktu itu, mendiang Liew Vui Keong turut mendokong kajian semula undang-undang dadah, khususnya hukuman mati.
Katanya, mereka yang menjadi penagih dadah akan dirawat sebagai pesakit memandangkan trend penyalahgunaan dadah kini sudah berubah daripada dadah konvensional berasaskan tumbuhan seperti ganja, morfin dan heroin kepada jenis sintetik yang lebih memudaratkan.
Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 17 Feb membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan atas dua tuduhan mengedar dadah.
Sidang tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bagaimanapun, menggantikan tuduhan Muhammad Lukman Mohamad kerana memiliki dadah di bawah Seksyen 9 Akta Dadah Berbahaya (DDA).
Mahkamah mendapati Muhammad Lukman, 31, bersalah kerana memiliki dadah dan menjatuhi hukuman penjara lima tahun untuk setiap pertuduhan yang akan dijalankan serentak dari 7 Disember 2015, tarikh penangkapannya.
Hakim Tengku Maimun yang mengetuai hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh dan Harmindar Singh Dhaliwal mendengar rayuan Muhammad Lukman berhubung sabitan dan hukuman mati atas tuduhan pertama dan kedua.
Kata Lukman, doa keluarganya dan kegembiraan berita pembebasannya, membuatkan dia dapat menanggung kesakitan akibat hukuman sebatan rotan.
Lukman berkata semasa di penjara, dia telah bercerai dengan isterinya, namun rindu kepada anaknya terubat setelah dapat bertemu susulan pembebasannya.
“Saya sangat berterima kasih kepada pihak berkuasa penjara yang menjaga kebajikan saya semasa saya berada di sana. Dan keluarga, rakan dan penyokong saya yang membantu saya dan mendoakan saya serta menyokong saya selama ini.
“Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih dan penghargaan kepada peguam saya Hisyam Tehdan pasukannya serta juga peguam Farhan Maarof yang membela saya sejak kes di Mahkamah Tinggi.
“Nasihat saya dengan rendah hati kepada orang ramai, bahawa walaupun kita mempercayai manfaat ganja perubatan, kita tidak boleh semudahnya melakukan apa yang kita inginkan dan melanggar undang-undang,” kata Lukman.
Katanya, buat masa ini, Lukman berkata dia ingin mendalami pengajian Islam, itulah yang saya nak buat dan itulah yang ibu saya mahukan juga.
“Nanti, saya ingin mendapatkan tauliah untuk kajian ilmiah dan advokasi untuk ganja perubatan,” katanya.
Jelas Lukman, dia masih yakin perlu ada usaha untuk menghalalkan ganja perubatan dan memperkenalkan hukuman dadah yang kurang keras di Malaysia.
Sumber- Malaysiakini