Terima berita anak cemerlang SPM ketika tunai haji
Terima berita anak cemerlang SPM ketika tunai haji
KUANTAN – Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud, bersyukur apabila menerima berita anaknya memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.
Muhamat Alimie yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 24,dekat Jerantut, mendapat 9A dalam peperiksaan itu.
Razak berkata, sekolah berkenaan mensasarkan lima pelajar menerima keputusan cemerlang untuk SPM tahun lalu.
“Saya terima berita ketika di Madinah.. bersyukur sangat kerana dia mendapat keputusan yang cemerlang dan membanggakan sekolah serta keluarga,” katanya.
Dia turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru sekolah berkenaan yang mendidik pelajar sekolah itu.
“Jasa guru di sekolah berkenaan sangat besar kepada kami dan anak kami.
“Pelbagai perancangan dan kelas tambahan dibuat pihak sekolah dalam memastikan semua pelajar mendapat ilmu yang bermanfaat,” katanya.
Razak turut berkongsi mengenai cita-cita anaknya yang mahu menjadi seorang guru atau pensyarah.
“Semoga dia terus berjaya dan mencapai cita-cita diidamkan,” katanya. – SAHIH