TERHARU DAPAT JUMPA PM
TERHARU DAPAT JUMPA PM
TEMERLOH: Lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Temerloh, di sini, pagi tadi sangat bermakna kepada penduduk ditempatkan di situ.
Sejak seminggu lalu, seramai 873 mangsa daripada 204 keluarga ditempatkan di PPS terbabit.
Bagi Azlanizam Seman yang terbabit dalam kemalangan jalan raya sebelum bencana banjir melanda daerah ini, kunjungan Muhyiddin sangat mengejutkan selain dapat membantu memberikan semangat kepada penduduk terjejas banjir.
“Setakat ini semua (bantuan) saya dapat.. rawatan susulan juga disediakan di PPS dan ia banyak membantu saya yang sedang dalam proses pemulihan akibat patah tulang paha dan luka yang perlu dicuci setiap hari,” katanya yang tinggal di Kampung Padang Tenggala, dekat sini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk terjejas banjir, Jamaliah Jamaluddin sangat terharu dengan kunjungan Muhyiddin dan meninjau sendiri keadaan di PPS berkenaan.
“Saya berasa sangat berterima kasih dengan lawatan beliau dan semuanya cukup di sini.. kemudahan disediakan juga sangat bagus dan petugas juga menjalankan tugas dengan baik.
“Urusan makan minum dan pemeriksaan kesihatan juga dilakukan setiap hari bagi memastikan tidak berlaku masalah (COVID-19) kepada penduduk yang berada di sini,” katanya.
Dia berkata, keadaan banjir tahun ini agak berbeza dengan tahun lalu dan menjangkakan kebanyakan penduduk terpaksa berada di PPS terbabit sekurang-kurangnya seminggu lagi.