TERGEMPAR | Israel Ugut Serang Kapal Sumud, Semua Sukarelawan Bakal Ditahan
TERGEMPAR | Israel Ugut Serang Kapal Sumud, Semua Sukarelawan Bakal Ditahan
KUALA LUMPUR – Media rasmi Israel malam tadi mengumumkan rancangan untuk menyerang kapal-kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dalam perjalanan menuju ke Gaza, sekali gus menahan semua sukarelawan yang terlibat.
Laporan dari Saluran 12 Israel memetik kenyataan pihak berkuasa rejim itu yang akan mengerahkan pasukan komando elit laut, Shayetet 13, bagi melaksanakan operasi tersebut. Pasukan ini dikenali sebagai unit elit paling terlatih Israel yang sering dikaitkan dengan operasi rahsia dan berisiko tinggi.
Menurut pengumuman itu, sebaik sahaja kapal-kapal Sumud berjaya ditawan, semua sukarelawan akan dihantar ke sebuah kapal penjara terapung terbesar di dunia yang dijadikan pusat tahanan. Israel turut memberi amaran bahawa mereka yang berkeras mahu ke Gaza berdepan risiko dipenjarakan untuk tempoh lama.
Selain itu, bot-bot yang dirampas sama ada akan ditenggelamkan atau diambil sebagai aset tentera laut Israel.
Bagaimanapun, amaran keras itu tidak mematahkan semangat sukarelawan antarabangsa, termasuk dari Malaysia, yang menyertai konvoi GSF. Mereka menegaskan tetap akan meneruskan pelayaran bagi memecahkan sekatan dan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang berdepan kebuluran di Gaza.
Dalam masa sama, umat Islam di seluruh dunia diseru untuk mendoakan keselamatan peserta misi berkenaan. Doa khusus turut dibacakan oleh beberapa pertubuhan yang mengikuti perkembangan ini, memohon agar semua sukarelawan dilindungi daripada bahaya dan selamat sampai ke destinasi.
Misi flotilla kali ini disertai lebih 40 kapal dengan ratusan aktivis dari seluruh dunia, menjadikannya antara konvoi terbesar pernah digerakkan ke Gaza.-SAHIH