DITERBANG LAYANG-LAYANG GERGASI
TERBANG BERSAMA LAYANG-LAYANG GERGASI
SUMATERA: Akibat bermain dengan layang-layang gergasi, seorang kanak-kanak di Indonesia patah tulang tangan selepas diterbangkan alat permainan itu.
Agensi melaporkan, dalam kejadian tengah hari 1 Disember lalu, kanak-kanak berusia 12 tahun itu diterbangkan layang-layang ketika bermain di padang sekolah berdekatan wilayah Pringsewu, Lampung.
Menurut Ketua daerah Ambarawa, kanak-kanak itu tersangkut pada tali layang-layang itu sebelum diterbangkan berbelas meter dari tanah.
Abang sulungnya, Acil, 28, berkata, sebelum kejadian, layang-layang itu diterbangkan seorang adiknya yang lain manakala mangsa memegang talinya.
“Dia memegang terus tali layang-layang itu menyebabkan insiden itu berlaku,” katanya dalam portal Coconuts.co.
Katanya, dia menemani adik-beradiknya itu ke padang berkenaan namun hanya menunggu dalam kenderaan.
Agensi Perlindungan Kanak-kanak (LPA) Pringsewu mengesahkan mangsa mengalami enam keretakan di kedua-dua tangannya.
Ia selepas kanak-kanak itu terjatuh ke atas tanah dan kini dilaporkan semakin sembuh selepas menjalani dua prosedur pembedahan.
Susulan kejadian itu, LPA memberi amaran kanak-kanak harus bermain layang-layang yang sesuai dengan saiz badan mereka
Menurut agensi berkenaan, kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku.
Sebelum ini, remaja berusia 14 tahun di wilayah Bantul, Yogyakarta turut diterbangkan layang-layang setinggi 3.35 meter dari tanah, mengakibatkan pahanya patah.