Tengku Mahkota Pahang ‘terpukau’ landskap ‘The Red Forest’ yang merah
Tengku Mahkota Pahang ‘terpukau’ landskap ‘The Red Forest’ yang merah
Foto atas: Tengku Hassanal (tengah) bersama Mohd Sharkar Shamsudin (depan, 2 dari kanan) bersama sebahagian pendaki ketika berada di puncak setinggi 371 meter Bukit Merah, Jerantut, Pahang hari ini.
JERANTUT – Pemangku Sultan Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah terpukau dengan keistimewaan puncak Bukit Buluh ditumbuhi pokok Kelat Gelam yang mewarnai landskap kawasan di situ dengan warna merah kerana batang dan ranting tumbuhan liar berkenaan berwarna merah sehingga dikenali dalam kalangan pelawat sebagai ‘The Red Forest’.
Baginda yang pekenan mendaki bukit tersebut mengambil masa 21 minit sahaja berbanding tempoh yang lazimnya dilakukan oleh pengunjung antara 40 hingga 50 minit serta diiringi 75 orang pendaki mewakili pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memulakan pendakian pada jam 8.10 pagi, hari ini.
Ketibaan baginda di kaki bukit itu pada jam 8 pagi hari ini disambut oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin.
Baginda pekenan berangkat mendaki bukit tersebut sempena pelancaran Program Hiking Day di Jerantut hari ini.
Baginda turut meluangkan masa selama 20 minit bersama pendaki dan pengunjung yang memenuhi cuti hujung minggu di puncak itu sambil berkenan bergambar bersama pengunjung di bukit tersebut.
Program yang sama juga diadakan serentak di lokasi terpilih setiap daerah Pahang membabitkan lintasan secara langsung di 13 buah lokasi melalui platform media sosial Facebook Tourism Pahang dan Kerajaan Pahang.
Sultan Hassanal teruja melihat keindahan persekitaran yang berwarna merah dan memuji usaha Pejabat Daerah Jerantut dan Jabatan Perhutanan menjadikan kawasan bukit itu sebagai tarikan pengunjung bagi kemudahan berekreasi dan beriadah pada waktu petang dan hujung minggu.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy ketika ditanya media, kerajaan negeri akan mewartakan Bukit Buluh sebagai destinasi baharu dalam Kalendar Pelancongan Pahang mulai tahun ini dan berharap Tourism Pahang, Pejabat Daerah Jerantut serta semua penggiat dan pengusaha pelancongan giat mempromosi tempat tersebut.
“Saya terpukau dengan landskap bukit ini diwarnai kemerahan sebab pokok Kelat Gelam berwarna merah, malahan tidak ditemui di tempat lain negeri ini selain Mossy Forest di Brinchang, Cameron Highlands yang terkenal dengan hutan dipenuhi lumut yang juga antara tarikan ramai pelawat.
“Bukit ini cuma 17 kilometer dengan bandar Jerantut antara pakej terbaharu pelancongan di daerah ini dan boleh disinggahi pengunjung dalam perjalanan ke Taman Negara Kuala Tahan atau destinasi lain di sini,” katanya selepas mengiringi lawatan Tengku Hassanal hari ini.
Dalam pada itu, penggiat pelancongan Taman Negara, Sabri Abdullah menambah, pengunjung ke Taman Negara tidak akan melepaskan peluang singgah mendaki Bukit Buluh semasa dalam perjalanan pergi atau balik daripada pusat peranginan hutan tropika taman tersebut.
“Kita akan terus menggiatkan promosi lokasi The Red Forest kepada pelancong antarabangsa selepas sempadan negara dibuka mulai 1 April ini sebagai lokasi transit sebelum atau selepas melawat Taman Negara,” katanya.
Jelasnya, usaha Tourism Pahang, Pejabat Daerah Jerantut dan Jabatan Perhutanan membuka lokasi tersebut amat dipuji sekali gus menambah sebuah lagi destinasi berasaskan tumbuhan liar yang unik serta ketinggian The Red Forest yang boleh didaki pelbagai peringkat usia.-SAHIH.