Tendang motosikal polis: Dua remaja ditahan
Tendang motosikal polis: Dua remaja ditahan
TEMERLOH: Dua remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan polis selepas dipercayai menendang motosikal dinaiki anggota peronda (URB) hingga terjatuh ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di Jalan Tengku Ismail, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, berkata dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, dua anggota Balai Polis Temerloh sedang menjalankan rondaan bermotosikal apabila terserempak sebuah motosikal hitam tanpa nombor pendaftaran dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, ketika dihampiri untuk pemeriksaan, penunggang motosikal terbabit bertindak melarikan diri menyebabkan berlaku kejar-mengejar sebelum seorang daripada suspek menendang motosikal polis hingga anggota berkenaan terjatuh.
“Mangsa mengalami luka di tangan dan kaki kanan lalu dibawa ke Hospital Temerloh untuk rawatan. Kedua-dua suspek sempat melarikan diri selepas insiden itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di hadapan Hotel 75, berhampiran Bank Muamalat Temerloh, dan dipercayai kumpulan berkenaan sedang berkumpul untuk berlumba haram sebelum melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.
Beliau berkata, hasil risikan dan bantuan keluarga suspek, polis berjaya menangkap kedua-dua remaja terbabit pada jam 2.30 petang hari sama, selain merampas sebuah motosikal Demak EX90 hitam yang digunakan dalam kejadian itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas, yang boleh membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Mohd Nasyim berkata, tindakan lanjut turut boleh diambil terhadap pemilik motosikal di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan individu tanpa lesen sah menunggang kenderaan, manakala ibu bapa atau penjaga juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39 akta sama.
Beliau menasihatkan masyarakat agar memberi kerjasama kepada pihak berkuasa semasa pemeriksaan dijalankan dan mengingatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak remaja, terutama pada waktu malam.
“Kealpaan ibu bapa boleh mengundang tragedi dan kehilangan nyawa,” katanya.-SAHIH
