“Temerloh Meriah Menjelang Aidilfitri, Trafik Terkawal Walaupun Sibuk”
“Temerloh Meriah Menjelang Aidilfitri, Trafik Terkawal Walaupun Sibuk”
TEMERLOH – Suasana di bandar Temerloh semakin rancak dengan kemeriahan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli juadah berbuka puasa serta kelengkapan raya, terutama di bazar Ramadan Dataran Temerloh dan pusat perniagaan utama.
Tinjauan SAHIH mendapati laluan sekitar bandar dan jalan utama masih terkawal meskipun jumlah kenderaan meningkat, terutamanya pada waktu petang dan selepas berbuka puasa. Antara lokasi yang mencatatkan peningkatan trafik ialah sekitar Jalan Bandaran Temerloh dan Mentakab, serta jalan utama seperti Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dan Jalan Triang-Temerloh.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, berkata pihaknya telah mengatur strategi bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang musim perayaan ini.
“Kami menasihatkan orang ramai merancang perjalanan terutama ke bazar Ramadan dan pusat beli-belah bagi mengelakkan kesesakan. Setakat ini, aliran trafik masih dalam keadaan terkawal dengan pemantauan berterusan pihak berkuasa,” katanya.
Menurut laporan Op Lancar/Op Selamat 24, laluan utama di daerah ini berada pada tahap memuaskan , menunjukkan aliran trafik yang lancar.
Walaupun hujan turun pada sebelah petang, ia tidak menghalang penduduk untuk keluar membeli juadah berbuka dan barangan persiapan raya.
Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Jangan memandu secara tergesa-gesa atau melanggar peraturan hanya kerana mahu cepat sampai ke destinasi.
Sama-sama kita pastikan perjalanan pulang ke kampung dan persiapan raya berjalan dengan lancar dan selamat,” tambah Mazlan.
Dengan kerjasama semua pihak, sambutan Aidilfitri di Temerloh dijangka berlangsung dalam suasana yang meriah dan harmoni tanpa sebarang gangguan lalu lintas yang serius.-SAHIH
“
“
“