TEMBIKAI PERCUMA UNTUK ORANG RAMAI
TEMBIKAI PERCUMA UNTUK ORANG RAMAI
PEKAN: Seorang pekebun menawarkan kira-kira 3,000 kilogram (kg) tembikai jenis boci kepada orang ramai yang mahu menikmati buah itu, dengan syarat mereka perlu datang ambil sendiri di kebunnya dekat Kampung Ubai, di sini.
Ain Izzuddin Mohd Ghazali, yang berusia 26 tahun itu berkata, tawaran itu dibuat sebagai tanda berkongsi rezeki dengan orang ramai setiap kali tembikai diusahakan dalam kawasan seluas 1.6 hektar boleh dituai.
“Mereka yang berhajat ingin makan tembikai, datanglah ke kebun dan ambil sendiri…. kalau tak silap saya, ada kira-kira 3,000 kilogram (kg) buah tembikai sedia untuk disedekahkan.
“Ambillah sebanyak mana, selagi tidak membazir. Tidak perlu bayar, saya bagi percuma. Jadi siapa cepat dia dapat,” katanya ketika ditemui di ladang miliknya di sini, hari ini.
SEBAHAGIAN TEMBIKAI DIUSAHAKAN AIN IZZUDDIN
Sepanjang tahun lalu, sebanyak 2,000 kg tembikai turut diagihkan kepada orang ramai yang datang ke kebunnya dan Ain Izzuddin berkata ia bertujuan untuk mendapat keberkatan dengan usahanya menanam tembikai sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, sepanjang bulan Ramadan lalu, agihan buah tembikai turut dilakukan, namun jumlahnya tidak sebanyak yang ditawarkan kali ini.
“Rezeki Allah berikan kepada saya perlu dikongsi dengan orang lain, terutama dalam keadaan sekarang ditambah pula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula esok, dan ini sudah pasti mengakibatkan ramai yang tertekan.
“Lagipun, buah tembikai yang sudah masak tidak boleh disimpan lama, jadi daripada dibiarkan rosak, lebih baik saya sedekahkan kepada yang berminat,” katanya yang bercadang mengusahakan tanaman jagung manis selepas ini.-SAHIH