Temasya Warisan Pahang 2025 Angkat Seni dan Kraf ke Persada Dunia
Temasya Warisan Pahang 2025 Angkat Seni dan Kraf ke Persada Dunia
PEKAN – Warna-warni seni kraf, warisan dan budaya bakal menyerikan daerah ini apabila Temasya Warisan Pahang 2025 dianjurkan bermula 1 hingga 7 September depan di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi.
Acara berprestij anjuran Yayasan Tenun Pahang Diraja itu menampilkan pelbagai aktiviti termasuk bengkel kraf, pameran kulinari, persembahan budaya serta penglibatan negara luar yang dijangka menarik ribuan pengunjung.
Majlis perasmian akan disempurnakan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 31 Ogos ini di Muzium Maritim, Pulau Beram. Pada malam sama, turut diadakan Pelancaran Yayasan Warisan Tunku Azizah dan Penyampaian Hadiah Piala Tunku Azizah – Pertandingan Tenun Pahang Diraja.
Majlis bertambah seri dengan keberangkatan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama kerabat diraja termasuk Sultanah Terengganu, Tengku Permaisuri Selangor dan Tengku Mahkota Pahang. Hadir sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg.

Malam perasmian turut diserikan dengan Pameran Lukisan Jiwa oleh Datuk M. Nasir, selain pelbagai bengkel kraf sepanjang tujuh hari temasya melibatkan batik, ukiran, anyaman, seramik dan pewarnaan alam.
Lebih membanggakan, penyertaan antarabangsa dari Turkiye, Laos, Singapura dan Indonesia turut memartabatkan seni kraf warisan ke pentas dunia.
Acara juga menampilkan pertandingan masakan pelajar sekolah, demonstrasi kulinari oleh Tengku Ampuan Pahang serta pameran gastronomi Pantai Timur, Tiffin dan seni lukisan.
Tidak ketinggalan, hasil seni masyarakat Orang Asli seperti ukiran Jahut, anyaman Semelai dan pembuatan tikar rotan akan diketengahkan. Persembahan Dikir Pahang, Gendang Silat, muzik tradisional Usari Pinang Dara dan budaya Sarawak menambah seri acara.
Majlis penutup dijadualkan pada 7 September di Muzium Seni Kontemporari Pahang, Kuantan.-SAHIH
