Teknologi moden lonjak ternakan ikan keli koperasi
Teknologi moden lonjak ternakan ikan keli koperasi
MELAKA– Penggunaan teknologi baharu dalam sektor ternakan ikan perlu diterapkan secara menyeluruh bagi membantu mengurangkan kos operasi serta meningkatkan produktiviti koperasi.
Ahli Parlimen Alor Gajah merangkap Timbalan Menteri Pertahanan, Haji Adly Zahari berkata, sektor ternakan ikan air tawar seperti keli mempunyai potensi besar namun memerlukan sokongan teknologi moden bagi menampung cabaran.
“Bidang ini agak mencabar dan beberapa faktor perlu diambil kira seperti cuaca panas melampau, pengurusan benih ikan, saiz kolam serta jumlah ikan yang sesuai,” katanya ketika merasmikan Projek Ternakan Ikan Air Tawar (Keli) dalam Kanvas anjuran Koperasi Usahawan Alor Gajah Melaka Berhad (KOSAM) di sini.
Beliau berkata, pendekatan moden dapat membantu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja serta meminimumkan penggunaan air sekali gus melancarkan proses ternakan.
Sementara itu, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, sebanyak RM2 juta diperuntukkan kepada 20 koperasi seluruh negara bagi melaksanakan projek di bawah inisiatif Sejati Madani.
“Inisiatif seperti ini membuktikan koperasi berpotensi besar untuk berkembang dalam sektor ternakan menggunakan teknologi moden. Projek keli ini mampu memberi pulangan jangka panjang kepada koperasi, anggota dan komuniti setempat,” katanya.
Menurutnya, projek tersebut turut menyokong matlamat keterjaminan makanan negara dan selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 yang menekankan pembangunan sektor agromakanan mampan dan berteknologi tinggi.
Beliau turut menyeru lebih banyak koperasi tampil meneroka bidang berimpak tinggi seperti perikanan, agromakanan, digitalisasi dan teknologi lestari.
Turut hadir, Setiausaha JAPERUN Rembia, Radhi Hamdin mewakili Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka; Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail serta Pengerusi KOSAM, Encik Erfan Mahrilar.-SAHIH