Tebang pokok durian: MP Raub, petani bertelagah dengan penguat kuasa Pahang
Tebang pokok durian: MP Raub, petani bertelagah dengan penguat kuasa Pahang
RAUB – Suasana tegang menyelubungi sebuah kawasan ladang durian di Raub pagi tadi apabila ratusan petani bertindak berkumpul bagi menghalang operasi penebangan pokok yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
Insiden itu turut menyaksikan kehadiran Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang turun padang menyokong para petani dan menegur tindakan UPNP yang didakwa melanggar perintah mahkamah.
Menurut Chow, Mahkamah telah mengeluarkan arahan pada Mei 2023 yang secara jelas melarang sebarang pemusnahan ladang durian sementara proses rayuan kes masih berjalan.
“Kita tidak menentang undang-undang, tetapi apa yang berlaku hari ini jelas mencabuli keputusan mahkamah.
Tindakan ini bukan sahaja menindas petani kecil, tetapi juga memberi imej buruk kepada pentadbiran negeri,” katanya kepada media di lokasi kejadian.
Difahamkan, operasi yang dijalankan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri Pahang untuk mengambil semula tanah hutan simpan yang dikatakan telah diceroboh oleh petani sejak beberapa dekad lalu.
Namun, bagi para petani, mereka sudah lama mengusahakan tanah tersebut dan berharap satu penyelesaian adil dapat dicapai tanpa merugikan sesiapa.
Walaupun rundingan secara aman telah diusahakan, kerja-kerja penebangan tetap diteruskan.
Beberapa petani dilihat cuba menghalang jentera daripada memasuki ladang, menyebabkan suasana menjadi sedikit tegang. Namun tiada tangkapan dilaporkan setakat ini.
Chow turut diminta oleh pegawai penguat kuasa untuk mengadakan rundingan terus dengan kerajaan negeri, namun beliau menyifatkan perkara itu hanya akan melewatkan keadilan untuk petani yang terjejas.
“Saya akan terus bersama mereka. Ini bukan hanya soal tanah, tapi soal keadilan dan kehidupan,” katanya.-SAHIH