TAYAR LORI DALAM LONGKANG, PUNCA BANJIR KILAT
JERANTUT: Kemelut banjir kilat yang sering berlaku di tengah bandar Jerantut setiap kali hujan lebat hingga meresahkan penduduk akhirnya terjawab, apabila didapati ada tayar lori yang tersumbat dan menyekat aliran di dalam longkang besar itu.
Sejak beberapa tahun lalu, pengguna jalan raya sering bimbang menggunakan laluan itu jika hujan lebat yang lama kerana air naik dengan cepat menyebabkan banyak kereta kecil tersangkut walaupun terdapat longkang besar di situ.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Lalu Lintas, Majlis Daerah Jerantut (MDJ), Datuk Ridzuan Mansor berkata isu banjir kilat di kawasan di hadapan Stesen Minyak Caltex itu telah menghantui pengguna jalanraya di situ sejak beberapa tahun ini
BH Online melaporkan , orang ramai kebingungan mengapa air cepat naiki di situ, walaupun terdapat longkang besar untuk aliran air malah tidak berlaku di kawasan lain.
Beliau berkata, MDJ mengadakan operasi bersepadu bersama agensi SWCorp, Jabatan Kerja Raya (JKR) , Alam Flora, Roadcare, PDRM, dan Balai Bomba Dan Penyelamat Jerantut untuk mencari punca sebenar.
Ridzuan berkata, kami yakin, kejadian itu berlaku berkemungkinan besar disebabkan longkang sedia ada itu tersumbat hingga cepat berlaku banjir kilat.
“Hari ini pasukan bomba terpaksa turun ke dalam longkang tertutup itu dengan bantuan alat pernafasan untuk membuat tinjauan ke dalam longkang tertutup tersebut.
“Hasilnya sungguh mengejutkan apabila bomba mendapati terdapat tiga biji tayar lori tersekat di dalam longkang itu dan terpaksa menggunakan backhoe untuk mengeluarkannya,, katanya.
Beliau berkata, tayar lori yang memenuhi longkang itu telah menyebabkan aliran air tidak dapat mengalir dengan cepat setiap kali hujan lebat kerana tersekat dan kawasan itu mudah dilanda banjir kilat.
Katanya operasi yang bermula dari pukul 12 tengahari sehingga 6.45 petang semalam itu diharap dapat menyelesaikan masalah yang menghantui pengguna jalan raya di kawasan itu.
“MDJ sungguh kesal dengan sikap pihak yang tidak bertanggungjawab dengan membuang tayar ke dalam longkang itu hingga turut menyebabkan kerosakan harta benda dan risiko keselamatan kepada pengguna laluan itu serta penduduk.