TAWAR PERUNTUKAN HINGGA RM4 JUTA
UNDIAN BELANJAWAN 2021 ESOK JADI PENENTU
KUALA LUMPUR: Peruntukan sehingga RM4 juta ditawarkan kepada Ahli Parlimen BN bagi menyokong Belanjawan 2021 dan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Menurut sumber dalaman parti itu, perkara itu dimaklumkan dalam pertemuan Ahli Parlimen BN malam tadi.
“Malam tadi ada pertemuan dengan Ahli Parlimen BN untuk meminta mereka supaya kekal menyokong Muhyiddin.
“Mereka dijanjikan peruntukan pembangunan sehingga RM4 juta tahun hadapan.
“Peruntukan sama akan diberikan kepada Ahli Parlimen PAS dan ada kemungkinan Ahli Parlimen Warisan,” katanya kepada Malaysiapost.
Esok proses pengundian akan berlangsung di Parlimen yang sekali gus akan menentukan kelangsungan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.
Jika Belanjawan 2021 ditolak, ia secara tidak langsung memberi gambaran yang Muhyiddin hilang sokongan untuk terus memimpin kerajaan.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Najib Razak memaklumkan yang sokongan BN kepada Belanjawan 2021 adalah secara bersyarat.
Iaitu, kerajaan PN perlu melanjutkan moratorium pinjaman serta membenarkan pengeluaran caruman akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.
Sementara itu, sumber berkata kerajaan PN pimpinan Muhyiddin kini umpama telur di hujung tanduk kerana sokongan yang belum pasti terhadap belanjawan.
“Selain penolakan terhadap bajet ada kemungkinan Ahli Parlimen BN tarik balik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
“Beberapa menteri UMNO mula bersuara jalan terbaik sekarang ini ialah pembubaran Parlimen,” katanya lagi.