TAWAN GUNUNG TAHAN SEMPENA HARI KEPUTERAAN KDYMM SPB YDP AGONG
TAWAN GUNUNG TAHAN SEMPENA HARI KEPUTERAAN KDYMM SPB YDP AGONG
KUALA LIPIS – Cuaca hujan dan sejuk hampir setiap hari pendakian tidak melunturkan semangat 20 orang pendaki untuk menyelesaikan misi menawan Gunung Tahan sempena memuliakan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kumpulan pendaki yang dikenali sebagai Istana Abdul Aziz Fan ini memulakan pendakian pada 24 Julai lalu dan berjaya menawan puncak berketinggian 2,187 meter dalam ekspedisi selama lima hari empat malam itu.
Ketua ekspedisi, Mohd Nasuha Shamsuddin berkata, hujan sepanjang hari merupakan antara cabaran dalam pendakian ke puncak Gunung Tahan menerusi laluan Merapoh-Merapoh (M2M).
“Misi sejauh 64 kilometer turun dan naik gunung sememangnya mencabar kekuatan fizikal dan mental setiap pendaki apabila trek mendaki dan turun menjadi lebih licin terutamanya di kawasan berbatu dan banyak akar pokok.
“Alhamdulillah misi berjaya dibawa dan kami dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah dan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Al-Sultan Abdullah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda,” katanya.
Bercerita lanjut berkenaan misi ekspedisi berkenaan, Mohd Nasuha mewakili kumpulan pendaki turut menyampaikan penghargaan di atas sokongan baginda yang turut memberi kata-kata semangat atas usaha yang dilakukan.
“Sebagai rakyat negeri ini, sudah pasti kami gembira dengan sambutan Hari Keputeraan baginda dan mendoakan semoga Allah SWT terus menganugerahkan Tuanku agar sentiasa dilimpahi hidayah-Nya, juga beroleh ‘Afiah’ dan penuh kedaulatan.
“Tuanku adalah seorang figura Diraja yang berjiwa rakyat dan sudah pasti usaha kecil kami ini adalah untuk menzahirkan rasa kasih kami selaku rakyat terhadap pemerintahan Tuanku yang kami sanjungi,” katanya.-SAHIH