Taufan Rai badai Filipina, 389 maut
Foto atas : Perkataan ‘help’ dicat di bumbung bersebelahan rumah yang musnah dibadai Taufan Rai di Pulau Siargao, selatan Filipina pada 22 Dis lalu. (Gambar AP)
MANILA: Angka korban akibat Taufan Rai yang membadai Filipina meningkat kepada 389 orang, manakala 64 lagi masih hilang, lapor Xinhua, semalam.
Majlis Kawalan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) berkata, taufan yang sampai di daratan pada 16 Dis lalu turut mencederakan 1,146 orang dan menjejaskan kehidupan lebih 4.2 juta orang di 11 wilayah tengah dan selatan Filipina, serta Kepulauan Luzon.
Taufan ke-15 yang melanda negara itu tahun ini memaksa penduduk setempat menghabiskan cuti mereka di pusat pemindahan.
Lebih 500,000 rumah musnah dan hampir 315,000 daripada lebih 570,000 orang dipindahkan ke 1,179 pusat pemindahan sementara, menurut agensi itu.
Pertanian dan infrastruktur mengalami kerugian lebih 22 bilion peso (kira-kira USD440 juta) akibat taufan itu.
Jabatan Kesihatan Filipina memantau penyakit bawaan air dan makanan seperti cirit-birit dan gastroenteritis akut di kawasan dilanda taufan, dengan beberapa pesakit dibawa ke hospital.
Timbalan Setiausaha Kesihatan, Maria Rosario Vergeire menggesa mangsa taufan mematuhi peraturan pandemik dan amat penting untuk sentiasa memantau gejala Covid-19.
Beliau berkata, taufan itu turut merosakkan 62 makmal ujian Covid-19 serta menjejaskan ribuan dos vaksin akibat gangguan bekalan elektrik.
China turut menawarkan bantuan segera, termasuk bungkusan makanan, beras dan wang tunai bagi menyokong usaha kerajaan Filipina bagi tujuan pemulihan serta membantu mangsa bencana taufan di negara Asia Tenggara itu.