TASIK CHINI TAMAN NEGERI BAHARU
TIDAK ADA LESEN BALAK, LOMBONG BAHARU DI SEKITAR TASIK CHINI
PEKAN: Kerajaan negeri tidak akan menyambung semula atau memperbaharui lesen bagi sebarang aktiviti pembalakan dan perlombongan di sekitar Tasik Chini, dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar berkata keputusan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Tasik Chini sebagai Taman Negeri yang baharu, tidak lama lagi.
“Ini bermakna, semua jenis aktiviti perlombongan dan pembalakan akan dihentikan di sekitar kawasan Tasik Chini bagi memastikan lokasi pelancongan itu terus terpelihara… tidak ada lagi lesen dikeluarkan atau pembaharuan lesen sedia ada selepas ini.
“Kita juga akan mewartakan kawasan ini sebagai Hutan Simpan Kekal… perkara ini sudah dipersetujui dalam Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (EXCO) dan ini bertujuan supaya keunikan Tasik Chini kembali menjadi destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Pahang di Pusat Penyelidikan Tasik Chini, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang, Mohd Sani Mat Daud dan Pengarah Jabatan Penyiaran Pahang, Ariffin Awang.
Mohd Sharkar berkata apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pahang adalah konsisten dan menyambung komitmen bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
“Menteri Besar Pahang sekarang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga sangat serius dalam hal penjagaan alam sekitar dan beliau meneruskan usaha yang telah dilakukan oleh bekas menteri besar sebelumnya,” katanya.