TARIKH LIHAT ANAK BULAN ZULHIJAH PADA 10 JULAI
TARIKH LIHAT ANAK BULAN ZULHIJAH PADA 10 JULAI
KUALA LUMPUR: Tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi menetapkan tarikh Hari Raya Aidiladha adalah pada petang Sabtu, 10 Julai bersamaan 29 Zulkaedah 1442 Hijriah, demikian menurut kenyataan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja hari ini.
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh 1 Zulhijah dan tarikh 10 Zulhijah iaitu Hari Raya Aidiladha yang ditetapkan melalui radio dan televisyen.
“Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Qurban adalah berdasarkan rukyah dan hisab,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan untuk melihat anak bulan Zulhijah pada petang hari tersebut di 28 lokasi di seluruh negara.
Lokasi tersebut ialah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.
Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, daerah Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.
Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Kota Bharu di Kelantan.
![]()
Esplanade Luak, Miri dan Teluk Bandung, Kuching di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah serta Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berinchang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang, lapor Bernama.
Turut menjadi lokasi melihat anak bulan itu ialah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, Perlis.
