TARIK BALIK GELARAN KEHORMAT JIKA SABIT KESALAHAN JENAYAH-PATRIOT
TARIK BALIK GELARAN KEHORMAT JIKA SABIT KESALAHAN JENAYAH-PATRIOT
PETALING JAYA: Persatuan Patriot Nasional (Patriot) mendesak gelaran kehormatan bagi mereka yang disabitkan dengan kesalahan jenayah ditarik balik.
Ia berikutan peningkatan jumlah kes membabitkan penerima darjah kehormat persekutuan dan negeri sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini termasuk rasuah, pengubahan wang haram, gengsterisme, pemerasan, pergaduhan, dan pelbagai kesalahan jenayah lain, lapor FMT.
Terbaru, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengumumkan penangkapan 34 orang dikaitkan dengan penipuan Macau Scam, termasuk pegawai daripada pelbagai agensi penguatkuasaan.
Begitu juga, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sejak beberapa minggu kebelakangan ini melaporkan penangkapan 68 orang yang dipercayai anggota geng dengan beberapa lagi dilaporkan penerima darjah kehormat persekutuan atau negeri.
Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji berkata, kerajaan persekutuan dan negeri yang menganugerahkan penghargaan kepada individu mempunyai peraturan dan kriteria ditetapkan dan lazimnya ia diberikan kepada individu yang berhak atas budi bicara Sultan.
Arshad berkata, penerima yang dianugerahkan kurniaan tersebut dianggap memberikan khidmat teladan kepada negeri dan mempunyai watak yang berwibawa dan terpuji.
“Oleh itu, penerima diharap dapat menjaga martabat kurniaan tersebut dengan memelihara kehormatan dan harga diri serta tidak melakukan perkara yang memalukan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ketika didakwa, penerima bukan saja merendahkan dan menghina gelaran kehormatan itu tetapi juga Sultan yang menganugerahkannya.
“Melihat seorang bergelar Tan Sri, Datuk Seri atau Datuk mengenakan baju oren SPRM, bergari dan diiring ke mahkamah kerana berdepan tuduhan jenayah adalah sesuatu yang memalukan.
“Apa yang lebih memalukan adalah individu tersebut langsung tidak nampak menyesal, malah sempat tersenyum lebar sebelum meninggalkan mahkamah. Bagaimanakah pandangan generasi muda kita yang memandang tinggi individu yang memegang gelaran itu? ” katanya.
Bagi mengembalikan dan memelihara kesucian, kehormatan dan integriti anugerah tersebut, Patriot mencadangkan semua penerima darjah kehormat persekutuan dan negeri yang disabitkan atas kesalahan jenayah ditarik balik anugerah ke atas mereka.
“Patriot menghormati hak negara dan kerajaan untuk memberi penghormatan kepada siapa pun yang mereka mahu. Tetapi mereka perlu mempertimbangkan yang mana lebih penting antara dua perkara ini, memelihara kesucian dan integriti darjah kehormatan tersebut atau penerima yang mencalar kesucian anugerah itu?”.