TARIK 13 EKOR LEMBU SADO DALAM BANJIR
LIMA BELIA KAMPUNG PAYA RAJIN BERHEMPAS PULAS MENARIK LEMBU SEJAUH 300 METER
JERANTUT: Tiga belas ekor lembu sado sempat diselamatkan oleh lima belia Kampung Paya Rajin yang bertindak berani berenang dan meredah air sedalam kira-kira dua meter untuk menyelamatkan lembu itu daripada ditenggelami air banjir.
Kumpulan belia itu mengharungi air sejauh 300 meter dalam kejadian itu dan berhempas pulas menarik lembu sado terbabit sambil berenang dalam air yang dalam itu.
Pemilik lembu itu, Mohamad Irwan Shah Ismail, 28, berkata pada Khamis lalu air mula naik di keliling kawasan kandang lembu dan dia bimbang kerana air naik mendadak dengan cepat dan hujan masih tidak berhenti-henti.
“Saya mula bimbang kerana kawasan kandang lembu mula dinaiki air dan ingin memindahkan semua lembu sado baka ‘charolairs ‘ ke kawasan selamat yang lebih tinggi.
“Saya minta bantuan empat rakan kampung ini untuk membantu saya memindahkan lembu sado ini,” katanya yang sudah memelihara lembu itu sejak dua tahun lalu.
Beliau berkata, oleh sebab tiada perahu kami terpaksa melalui kawasan berair untuk dibawa ke kawasan yang lebih tinggi, kerja menarik lembu keluar dari kandang agak senang, tetapi untuk menarik ke kawasan air agak sukar kerana lembu sasa itu tidak mahu bergerak.
“Kami tiada pilihan, terpaksa berenang dalam air yang dalam sambil menarik lembu sasa itu termasuk dua ekor anak lembu.
“Kami berlima terpaksa berenang sambil menarik lembu sejauh 300 meter dan mengambil masa kira-kira dua jam lebih untuk sampai ke kawasan tinggi,” katanya.
Beliau berkata walaupun terpaksa berhempas pulas melayan karenah lembu yang melawan, tetapi kami bersyukur semua lembu itu dapat di selamatkan.
Klik link YouTube dibawah :