Tapisan semula pemilihan STR Tembeling Jaya 1 dan 2 di Kuala Tahan akan dilakukan
Tapisan semula pemilihan STR Tembeling Jaya 1 dan 2 di Kuala Tahan akan dilakukan
JERANTUT – Kira-kira 30 orang penduduk dan belia yang membantah secara aman dengan membawa banting kerana pemilihan projek Skim Tanah Rakyat (STR) yang didakwa tidak adil baru-baru ini boleh menarik nafas lega apabila tapisan semula pemilihan calon yang baharu akan dilakukan tidak lama lagi.
Bantahan itu timbul apabila golongan penduduk dan belia yang membantah berpunca dipercayai dimonopoli kira-kira 200 orang luar kampung Kuala Tahan termasuk daerah lain daripada 841 orang peserta yang memohon.
Kerajaan negeri akan membuat tapisan semula untuk penerima yang layak khususnya dalam kalangan belia yang sudah berkeluarga dan penduduk mengisi projek STR Tembeling Jaya 1 dan STR Tembeling Jaya 2 di Kuala Tahan dekat sini
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, setelah berbincang selama lima jam dengan ahli jawatankuasa pemilihan peserta projek tersebut maka jalan penyelesaian ialah dengan melakukan tapisan semula.
Katanya, AJK Pemilihan terdiri daripada Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Jerantut, Mohd. Hafiizh Ismail bersama Penghulu Mukim Tembeling Tengah, Mohd Khaidir Shamsudin, bekas penghulu Tembeling Tengah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) Kuala Tahan.
“Turut hadir, bekas Pengerusi JPKK serta wakil belia dan wakil penduduk di situ mendapat penyelesaian menerusi mesyuarat khas pada 7 Februari 2022 telah dibuat, iaitu untuk menyemak dan membuat tapisan semula.
“Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sangat cakna dengan rungutan kalangan belia berkeluarga merupakan penduduk tempatan Kuala Tahan yang mengundang rasa tidak puas hati dan kecewa kerana sebilangan peserta untuk projek STR dipilih dalam kalangan orang luar dan bukannya anak tempatan,” katanya.
Katanya, belia berkenaan dan penduduk di Kuala Tahan diharap bersabar kerana hasil perjumpaan pada 7 Februari lalu, kerajaan negeri menerusi Pejabat Daerah dan Tanah dan Penghulu Mukim serta ahli jawatankuasa khas pemilihan akan membuat tapisan semula bagi membolehkan agihan projek ini lebih adil dengan mengutamakan anak tempatan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar berkata, semoga perbincangan serta penyelesaian yang dibuat dalam mesyuarat khas tindakan jawatankuasa pemilihan peserta itu dapat memuaskan hati semua pihak.
Sementara itu, jurucakap kumpulan bantahan itu,Mohamad Anas Zainuddin, 34, berkata, dia bersyukur kerana isu yang diperjuangkan oleh anak muda Kampung Kuala Tahan telahpun selesai dan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Datuk Nazri Ngah bersama jawatankuasa khas pemilihan peserta itu.
“Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta menghargai peranan Exco Kerajaan Pahang, Datuk Nazri Ngah yang bertindak pantas menyelesaikan isu ini setelah tersiar di semua media.
“Ini merupakan penyelesaian terbaik dan kami berpuas hati dengan jaminan kerajaan negeri untuk membuat tapisan semula peserta projek STR demi kepentingan kepentingan serta keutamaan penduduk dan belia tempatan,” katanya.-SAHIH.