TAPIR MATI DILANGGAR KENDERAAN
DIANGGARKAN BERUSIA ANTARA 25 HINGGA 35 TAHUN
KUALA KRAI: Seekor tapir jantan dianggarkan berusia 25 hingga 35 tahun dan anggaran berat 150 kilogram ditemui mati akibat dilanggar kenderaan di Kampung Sri 10, Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan malam tadi.
TAPIR atau Tapirus Indicus adalah antara spesies haiwan yang terancam di Malaysia/ gambar hiasan
Pengarah PERHILITAN Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 10 malam dan kehadiran anggota PERHILITAN ke lokasi mendapati tapir tersebut sudah mati.
“Anggota PERHILITAN Kelantan yang melakukan rondaan ke tempat kejadian dan mendapati tapir jantan tersebut telah mati. Pihak jabatan menguruskan tapir dianggar seberat 150 kilogram itu untuk proses pelupusan.
“Keadaan jalan tempat kejadian adalah lurus menuruni bukit dan tiada lampu jalan, keadaannya sangat gelap,” katanya dalam kenyataan kepada media, disiarkan Malaysiakini.
Sebagai rekod, tapir atau nama saintifiknya Tapirus Indicus adalah antara hidupan liar yang semakin terancam populasinya di negara ini.