Tapir liar terperangkap semalaman dalam lubang pembetung
Tapir liar terperangkap semalaman dalam lubang pembetung
LIPIS – Seekor tapir liar berdepan detik cemas apabila terjatuh dan terperangkap semalaman dalam lubang pembetung di Kampung Putu di sini, sebelum berjaya diselamatkan dengan bantuan penduduk dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Putu, Shafi’e Ibrahim, berkata haiwan itu ditemui kira-kira jam 8 pagi oleh seorang penduduk yang menunggang motosikal ke kebun getah.
“Penduduk itu melihat tapir berkenaan diselaputi lumpur dan tidak mampu keluar, lalu segera menghubungi saya sebelum saya memaklumkan perkara itu kepada pejabat Perhilitan daerah,” katanya.
Menurutnya, pada mulanya penduduk cuba menarik tapir menggunakan pacuan empat roda namun tindakan itu dibatalkan kerana dikhuatiri mencederakannya.
“Seorang penduduk yang menggunakan jentera barantai membantu menambun sebahagian lubang dengan tanah supaya tapir itu boleh panjat keluar. Usaha selama setengah jam akhirnya berjaya dan tapir itu tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Shafi’e berkata, kehadiran tapir di kampung itu bukan perkara luar biasa kerana kawasan berkenaan sering menjadi laluan haiwan berkenaan mencari makanan seperti kangkung dan buah-buahan gugur.
Beliau menambah, pada September lalu seekor tapir ditemukan mati dipercayai akibat termakan racun dan berharap pihak berkuasa mempertimbangkan pembinaan pusat konservasi tapir di Lipis bagi memelihara spesies dilindungi itu.-SAHIH.
