TANGGUH TUNAI UMRAH, DAPATKAN DAHULU DOS PENGGALAK
TANGGUH TUNAI UMRAH, DAPATKAN DAHULU DOS PENGGALAK
Foto atas : Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (3 dari kanan)menyuntik vaksin dos penggalak kepada kakitangan KKM diperhatikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ( 3 dari kiri).
TEMERLOH – Semua bakal jemaah umrah perlu mendapatkan dos penggalak dan harus menunggu selepas enam bulan bagi vaksin Pfizer, manakala Sinovac pula selepas tiga bulan untuk mereka yang berhajat untuk menunaikan ibadah itu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, setakat ini pemberian dos hanya diberi keutamaan kepada petugas barisan hadapan, warga emas dan mereka yang mengalami masalah kesihatan atau komorbid.
“Kalau mereka yang berhasrat menunaikan umrah dan sudah menerima vaksin Sinovac, Arab Saudi tidak mengizinkan, oleh itu syaratnya perlu mendapatkan dos penggalak Pfizer tetapi selepas enam bulan dan Sinovac pula selepas tiga bulan untuk mereka yang nak pergi ke sana.
“Semua jemaah umrah yang sudah mendapat tarikh penerbangan ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadat itu perlu menunggu giliran bagi menerima dos penggalak vaksin Covid-19 dahulu,”katanya.
Katanya, ketika ini, dos penggalak ini, dibuka untuk ‘front liners’, mereka yang ada komorbid, mereka yang berumur 60 tahun ke atas yang ada masalah dan yang berdepan ‘terus’ dengan orang ramai.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Klinik Kesihatan dan Kuarters Kuala Tekal, dekat sini, hari ini.
Majlis perasmian dilakukan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
“Sekarang dos campuran dibenarkan, Pfizer dan Sinovac atau Sinovac dan Pfizer, di Arab Saudi, mereka masih mengiktiraf vaksin Pfizer, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna yang diberikan kelulusan,” katanya.
Kerajaan Arab Saudi pada Julai lalu mengumumkan hanya penerima empat jenis vaksin dibenarkan memasuki Tanah Suci bagi menunaikan ibadat haji dan umrah. –SAHIH.