TANGAN KIRI REMAJA LELAKI TERSEPIT MESIN AIS KACANG
TANGAN KIRI REMAJA LELAKI TERSEPIT MESIN AIS KACANG
SEBERANG PERAI: Seorang remaja lelaki berdepan detik cemas apabila pergelangan tangan kirinya tersangkut pada mesin ais kacang di sebuah gerai cendol di Pekan Darat, Butterworth di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu, mangsa berusia 15 tahun tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan apabila tangannya tidak terkena pada mana-mana bahagian tajam mesin itu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.55 pagi.
“Apabila bomba sampai di lokasi kejadian, didapati tangan seorang remaja lelaki tersepit pada mesin ais kacang.
“Anggota menggunakan peralatan khas menyelamat dan tangan yang tersepit itu berjaya dikeluarkan pada pukul 12.19, manakala dia tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu,” katanya. – K! ONLINE