Tanam padi dalam Polibeg persediaan masa akan datang
Tanam padi dalam Polibeg persediaan masa akan datang
TEMERLOH-Seorang penduduk di Kampung Bolok Hulu Sokmek dekat Lanchang di sini mengambil inisiatif menanam padi menggunakan polibeg yang juga julung kalinya diusahakan di Pahang setakat ini.
Mengakui turut bimbang dengan ramalan kemarau selama 10 tahun di negara ini, Jelisun juga menyifatkan projek itu sebagai persediaan awal untuk bekalan makanan.
Memulakan usaha tersebut berhampiran rumahnya, Jelisun Long,58 mengorak langkah mengusahakan tanaman makanan ruji rakyat Malaysia itu sejak Februari lalu.
Beliau yang juga Biro Ekonomi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) itu mengusahakan 600 polibeg padi dengan modal permulaan kira-kira RM2,000.
“Saya dipertanggungjawab untuk mencari inisiatif sesuai untuk penduduk kampung dan mengenangkan harga beras semakin mahal, jadi saya memilih untuk menanam padi di dalam polibeg.
“Sebelum memulakan projek ini, saya mengambil masa kira-kira setahun untuk mempelajari teknik tanaman di Selangor selain dapatkan benih padi dari Kedah,
“Idea ini juga timbul selepas melihat di YouTube, ada penduduk di Indonesia tanam padi di tepi kawasan rumah sahaja.
Ujar beliau, penggunaan polibeg lebih menjimatkan kos, masa dan kurang ancaman haiwan perosak seperti serangga dan siput berbanding di sawah.
Jelasnya, untuk ancaman burung, beliau membina rumah jaring untuk mengurangkan serangan haiwan tersebut.
“Ini akan menjadi projek sara hidup dan boleh membantu peserta terlibat mempunyai bekalan beras sendiri nanti,” tambahnya.
“Projek tanaman padi ini juga telah mendapat sokongan JPKK kampung dan kita akan memulakan projek perintis pada Julai depan di kawasan pekarangan rumah dan mereka kini sedang giat membuat persediaan tapak.-SAHIH