TANAM CILI SEJAK PKP 1.0 KERANA TIADA AKTIVITI PELANCONGAN
TANAM CILI SEJAK PKP 1.0 KERANA TIADA AKTIVITI PELANCONGAN
JERANTUT : Sejak mula penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada 18 Mac 2020, ramai kehilangan pekerjaan atau punca pencarian berkurangan, ramai memikirkan nasib tanpa pekerjaan dan pendapatan termasuk dalam sektor pelancongan.
Mengenang keadaan semasa yang semakin tenat, seorang pemandu alam sekitar atau pemandu pelancong Taman Negara Kuala Tahan, Mohd Kamil Hakim Rozali, 31, mula mengusaha tanaman cili kulai berdekatan rumahnya di Kampung Kuala Tahan dekat sini.
“Taman Negara yang ditutup kepada pelancong luar termasuk pengunjung domestik ke taman hutan hujan tropika tertua di dunia menyebabkan saya antara kalangan kira-kira 300 orang pengusaha dan penggiat sektor ini kehilangan pendapatan.
“Saya terbabit sepenuh masa dengan sektor ini, tanpa pekerjaan mula muncul perasaan gusar tanpa pendapatan, kerana sebelum ini pekerjaan di sektor ekopelancongan memperoleh pendapatan yang agak selesa,” katanya di Kuala Tahan dekat sini hari ini.
Mohd. Kamil Hakim yang masih bujang, mula menceburkan diri bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman (pertanian) komersial di kawasan tanah seluas 0.4 hektar berdekatan rumahnya atas nasihat keluarganya.
“Saya memilih bidang pertanian atas nasihat dan dorongan daripada Pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tembeling Tengah kebetulan pejabat agensi tersebut berdekatan dengan rumah saya.
“Langkah awal saya menanam cili kulai menerusi kaedah fertigasi menerusi tunjuk ajar amalan pertanian daripada PPK Tembeling Tengah malah rakan yang pernah mengusahakan tanaman komersial ini turut berkongsi pengalaman,” katanya.
Katanya, untuk memulakan tanaman cili kulai fertigasi sejak awal tahun ini dengan menggunakan modal daripada duit simpanan sendiri dan bantuan keluarga untuk membeli polibeg, peralatan pertanian dan pengurusan lain.
“Saya menanam sebanyak 1,800 benih cili dalam polibeg dan dalam tempoh lebih dua bulan baharulah hasil pertama mula dipetik seberat kira-kira 100 kilogram dan dipasarkan di Kuala Tahan dan bandar Jerantut.
“Pada pusingan seterusnya, cili ini diambil oleh pemborong yang datang secara berjadual di pusat pengumpulan hasil di Felda Sungai Retang untuk dihantar ke pasar Selayang, Selangor dan Pasar Tani Kuala Lumpur,” katanya.
Dia berkata, sehingga ini sudah enam pusingan tanaman ini dipetik dan seberat lebih 1,200 kilogram dipasarkan dalam tempoh enam bulan ini dan sudahpun menikmati pulangan modal manakala selebihnya untuk simpanan dan perbelanjaan keluarga.
“Diharapkan rakan yang lain dapat memulihkan tanah terbiar di tempat tinggal masing-masing untuk pertanian komersial walaupun peringkat awalnya cuma menjana sedikit hasil dan pendapatan yang kecil, lama-kelamaan setiap usaha dan cabaran ditempuh dengan kesungguhan dan sabar, maka akan menikmati hasil yang lumayan,” katanya.-SAHIH.