TANAH RUNTUH DI BANJARAN CROCKER
PAPAR: Satu kejadian tanah runtuh berlaku di Kilometer 26.6 Jalan Keningau-Kimanis pada awal pagi ini.
Memetik laporan ASTRO Awani, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis, Zainal Ali berkata, dalam kejadian jam 1 pagi itu, kawasan berbukit setinggi 150 meter runtuh, melibatkan dua buah rumah.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kami menerima panggilan pada jam 7.51 pagi tadi dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan mendapati runtuhan setinggi 150 meter dan memusnahkan dua buah rumah yang tidak berpenghuni.
“Dari pengamatan awal kami, jika hujan berlarutan kemungkinan berlaku lagi kejadian tanah runtuh di kawasan berhampiran,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.
Jelasnya, ini merupakan kejadian tanah runtuh yang pertama dilaporkan di sepanjang Banjaran Crocker, Kimanis.
Seramai 10 anggota Bomba dan Penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian dengan dibantu sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Papar dan Jabatan Kerja Raya Papar.
Siasatan awal turut mendapati terdapat sembilan buah rumah yang didirikan berhampiran kawasan runtuhan dan terdapat puluhan buah rumah lereng bukit di sepanjang banjaran.