TANAH KERAJAAN DICEROBOH: NGO BANGKIT, DAKWA WAKIL RAKYAT BIADAB
TANAH KERAJAAN DICEROBOH: NGO BANGKIT, DAKWA WAKIL RAKYAT BIADAB
RAUB – Suasana di Raub kembali panas apabila lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam tampil mengecam tindakan pencerobohan tanah kerajaan di daerah ini yang turut dikaitkan dengan kelakuan didakwa biadab seorang wakil rakyat.
Gabungan NGO yang dikenali sebagai ‘Ops Bangkit Bebaskan Tanahair 2025’ mendesak siasatan serta tindakan tegas diambil terhadap penceroboh termasuk Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, yang didakwa mengganggu operasi penguat kuasa negeri baru-baru ini.
Pengerusinya, Ustaz Masridzi Sat berkata, laporan polis telah dibuat secara berperingkat sejak kejadian 9 April lalu di Sungai Klau, di mana sekumpulan pegawai dari Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dimaki hamun ketika menebang pokok durian Musang King yang ditanam secara haram.
“Lebih mengejutkan, insiden ini dipercayai diketuai oleh Ahli Parlimen DAP itu yang bertindak seolah-olah menjadi jurucakap kepada penceroboh.
Ini satu tindakan biadab yang jelas mencabar titah Sultan Pahang dan keputusan mahkamah,” katanya.
Antara NGO terlibat termasuk UMNO dan PAS Kawasan Raub, PPBM Raub, Gerakan Reformasi, Persatuan Silat Pedang, PERKID serta Persatuan Veteran ATM.
Menurut Masridzi, lebih 200 orang berkumpul di Batu 3, Sungai Ruan sebagai tanda kebangkitan rakyat yang enggan melihat tanah kerajaan terus dicabuli.
“Kami desak penggunaan undang-undang lebih tegas termasuk SOSMA untuk memastikan tiada pihak berani menggugat kedaulatan negeri,” tegasnya.
Gabungan NGO itu juga menggesa agar lebih 4,400 hektar tanah kerajaan yang diceroboh — termasuk kawasan Sungai Ruan hingga Gunung Benum — dirampas serta-merta tanpa kompromi.
Tambahnya, mereka sedia berdiri di belakang Kerajaan Negeri dan Sultan Pahang dalam mempertahankan maruah serta kedaulatan tanah air.-SAHIH