TAMBAH PROJEK RUMAH RAKYAT PAHANG
TAMBAH PROJEK RUMAH RAKYAT PAHANG
KUANTAN: Kerajaan Pahang sedang meneliti kemungkinan untuk menambah pemberian Rumah Rakyat Pahang (RRP) sebanyak dua unit lagi bagu setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), tahun ini.
Mengikut perancangan asal, pemberian RRP tahun ini berjumlah 102 unit kediaman berbanding 98 unit tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penambahan itu bagaimanapun bergantung kepada kemampuan kewangan negeri.
GAMBAR HIASAN
“Saya sedang mengkaji dan melihat implikasi kewangan, pada masa sama melihat rumah yang sudah diluluskan sebelum ini di mana setiap ADUN (Ahli DUN) diminta membina dua unit rumah di kawasan masing-masing.
“Sekiranya prestasinya baik, memberangsangkan dan tidak ada masalah, jika kedudukan kewangan mencukupi, kita akan tambah lagi dua unit sebab saya lihat data mereka yang memerlukan rumah di negeri ini agak ramai juga dan kerajaan negeri akan pertimbangkanlah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Wang Ihsan Mangsa Banjir kepada kira-kira 1,000 ketua isi rumah (KIR) di Dewan Orang Ramai Kampung Ubai, dekat sini, lapor KOSMO! Online.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Rahim Muda dan ADUN Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, fasa pertama vaksin COVID-19 keluaran Pfizer BioNTech sebanyak 32,000 di negeri ini sudah diagihkan kepada semua penerima yang terdiri daripada petugas barisan hadapan.
GAMBAR HIASAN
“Sekarang ini kita sedang tunggu bekalan fasa kedua sebanyak 370,000 yang mana kita utamakan untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas, seterusnya fasa ketiga sebanyak 700,000 kepada rakyat Pahang berusia 18 tahun ke atas.
“Saya meminta orang ramai supaya segera mendaftar dalam MySejahtera jadi kita dapat segera putuskan rantaian penularan COVID-19 ini dan memulihkan ekonomi seperti sediakala,” katanya.