Tamanan padi bukit boleh diusahakan lebih bersistem
Tamanan padi bukit boleh diusahakan lebih bersistem
JERANTUT – Penanaman padi bukit akan diberi perhatian dengan cara tanaman yang lebih tersusun dan terancang serta pembajaan yang betul bagi meningkatkan hasil pengeluarannya yang banyak di Perkampungan Orang Asli di Sungai Rengat dan Sungai Kiol, dekat ini.
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, ketika ini penanaman yang dilakukan oleh penduduk di sini sekadar untuk kegunaan sendiri sahaja.
Katanya, padi bukit atau padi huma merupakan sejenis padi yang ditanam di kawasan tanah mineral atau tanah tanpa genangan air di kawasan lereng bukit.
“Amalan agronomi padi bukit tidak sama dengan apa yang dilakukan terhadap tanaman padi sawah, pada masa ini kebanyakan industri penanaman padi di negara kita adalah dari jenis padi sawah.
“Kalau diberi perhatian dengan kaedah yang betul, hasil keluarannya dapat dipertingkatkan di samping boleh dijadikan tarikan pelancong ke kawasan kampung ini kerana kaedah ini sudah tidak banyak ditanam di daerah ini,” katanya ketika melawat ke program mengemping padi Kampung Sungai Rengat, hari ini.
Katanya, di Sarawak dan Sabah banyak menanam padi bukit, oleh itu tanaman padi ini boleh diusahakan dengan mendapat nasihat jabatan pertanian dan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) agar penduduk mendapat hasil pulangan yang berbaloi.
“Benih yang baik dan pembajaan yang bersistematik turut memainkan peranan untuk pengeluaran hasil selain dapat menjimatkan perbelanjaan dapur penduduk di sini,” katanya.
Katanya, lokasi kampung ini juga berdekatan sungai yang sesuai untuk rekreasi keluarga dan pengunjung luar, maka tanaman padi bukit turut boleh dijadikan tarikan pengunjung ke kampung itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemakmuran Kampung Orang Asli (JKKOA), Kampung Sungai Rengat, Muhammad Farok Fauzi berkata ketika ini penduduk memulakan dengan tanaman padi bukit seluas 1.20 hektar (3 ekar) dengan penghasilan sebanyak 100 kilogram (kg) ke 150kg setelah kerja penanaman padi terhenti seketika sebelum ini.
“Kami merancang untuk menanam padi jenis ini di tanah seluas kira-kira 4 hektar (10 ekar) kerana terdapat kawasan kosong yang boleh dimajukan.
“Di samping itu, penduduk di sini boleh berkerjasama menanam padi ini dan boleh dijadikan pendapatan sampingan, ia juga boleh menjalin tali persaudaraan yang lebih erat dan semangat jati diri setempat,” katanya.
Katanya, ketika penduduk berhadapan dengan harga barangan keperluan yang semakin mahal di pasaran, maka usaha penanaman padi boleh meringankan sedikit perbelanjaan harian.
“Di samping itu, tanaman sayur dan ternakan turut diusahakan untuk keperluan penduduk di sini,” katanya.
Penduduk kampung itu, Maria King (65) berkata, padi bukit Rengat ini sedap, lembut dan berbau wangi.
“Samping itu dapat mengurangkan perbelanjaan dapur untuk membeli beras, usaha untuk menanam padi ini secara lebih tersusun seperti yang disarankan memberi semangat kepada kami penduduk di sini,” katanya.-SAHIH.