Taman Warisan Bukit Istana, Jerantut wajar diselenggara
Taman Warisan Bukit Istana, Jerantut wajar diselenggara
JERANTUT – Penduduk dan pengunjung yang gemar melakukan kegiatan riadah di sekitar Taman Warisan Bukit Istana, dekat sini merayu kepada Majlis Daerah Jerantut menyelenggara kawasan itu dengan menjaga kebersihan dan keceriaan.
Taman Warisan yang terletak di Bukit Istana mula dibina sekitar awal 1990-an pada mulanya menjadi tumpuan pengunjung pada waktu petang dan hujung minggu untuk aktiviti ekstrem selain tempat berehat di pondok bawah teduhan pelbagai jenis pokok hutan.
Kini, kawasan itu menjadi tumpuan yang digemari untuk mendaki dan jogging dan diharapkan kemudahan di taman itu dipulihkan semula terutama trek jogging dan berjalan kaki, melabelkan nama pokok hutan, pondok rehat serta penjagaan kebersihan dengan menyediakan tong sampah.
Selain itu, penuntut dalam bidang perhutanan dan botani juga kerap singgah ketika taman itu mula dibuka untuk kajian serta mengenali pokok hutan tropika berasaskan label nama tumbuhan dipasang setiap batang pokok.
Seorang penduduk di sini yang ditemui berkata, dia mahukan pihak berkaitan membersihkan trek jogging yang mula dipenuhi semak dan daun kering, berlumut di kawasan bertangga, label nama pokok hutan sudah rosak dan jatuh ke tanah, pondok berehat rosak dan kotor dicemari sampah-sarap termasuk di beberapa ‘pit stop’ laluan berkenaan.
“Saya dan rakan termasuk ramai pengunjung kerap berjalan kaki di kawasan trek yang disediakan hampir satu kilometer naik turun kawasan berbukit di sini.
“Hari ini, suasana landskap taman di sini jauh berubah apabila keadaan tidak terurus, semak-samun malahan kebanyakan tempat kotor dan trek simen dipenuhi lumut serta licin,” katanya.
Katanya, taman ini tidak diuruskan dengan baik dan kami dalam kalangan warga emas terpaksa beriadah di tempat lain sedangkan kawasan ini amat sesuai dan selesa untuk semua pengunjung.
“Dalam keadaan semak yang tebal bimbang juga kalau ada haiwan berbisa, oleh itu sewajarnya kawasan bersemak ditebas demi keselamatan orang ramai.
“Sesuai dengan bandar Jerantut yang dipilih oleh kerajaan sebagai ‘Projek Showcase Healthy City’ sudah sewajarnya Taman Warisan Bukit Istana dipulihkan semula sebagai sandaran menjadi tumpuan pengunjung dan pelancong luar,” katanya.-SAHIH