TAMAN REKREASI DI DAMANSARA KUANTAN
KUANTAN: Penduduk di taman perumahan Damansara Kuantan mencadangkan agar kawasan Tasik Bandar Damansara Kuantan di sini dijadikan taman rekreasi baharu di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, usul cadangan pembangunan tasik itu telah dikemukakan pengurusan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Damansara Kuantan dalam mesyuarat bersama Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pada 14 September lalu.
Andansura Rabu (kiri) bersama seorang penduduk kawasan Indera Mahkota
Menurutnya, usul itu telah diterima untuk dimasukkan dalam sebahagian pelan jangka panjang pembangunan Kuantan Bandar Lestari.
“Saya bersama beberapa agensi berkaitan telah mengadakan lawatan di kawasan berkenaan dan mendapati tasik yang berkeluasan 10 hektar itu berpotensi untuk dibangunkan sebagai taman rekreasi baharu.
“Kawasan itu boleh dijadikan tempat rekreasi dan boleh dibina laluan untuk berjoging lebih kurang tiga kilometer. Jika ia dibangunkan pasti akan memberi satu lagi taman rekreasi kepada warga Kuantan khususnya penduduk di Sungai Karang, Damansara dan Batu Hitam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Semalam, Andansura bersama MPK, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Hitam dan pelbagai agensi berkaitan melawat kawasan tasik itu.
Beliau berkata, hasil daripada lawatan itu, pihak MPK bersetuju untuk membawa cadangan tersebut ke Pejabat Tanah dan Galian terlebih dahulu.