TAMAN NEGERI ROMPIN MULA DIBUKA 1 OKTOBER
Berita Nasional
TAMAN NEGERI ROMPIN MULA DIBUKA 1 OKTOBER
ROMPIN: Peminat alam semula jadi berpeluang mengunjungi Taman Negeri Rompin, dekat sini, apabila dibuka secara rasmi kepada orang ramai bermula 1 Oktober ini.
Pembukaan semula taman negeri itu juga memberi peluang kepada pengunjung menikmati keindahan alam semulajadinya dalam suasana tersendiri, dengan pelbagai infrastruktur dan kemudahan lengkap disediakan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penjenamaan semula Taman Negeri Rompin yang dahulunya dikenali sebagai Taman Negeri Endau-Rompin (TNER) dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri, pada 26 Ogos lalu.
“Nama Taman Negeri Rompin dipilih selepas mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Kerajaan negeri sebelum ini bercadang menukar nama Taman Negeri Endau-Rompin bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan pelancong dengan Taman Negara Endau-Rompin, Johor yang diuruskan Perbadanan Taman Negara Johor.
“Penjenamaan semula taman negeri ini membabitkan penambahbaikkan infrastruktur dan kemudahan dengan peruntukan RM15 juta yang disalur melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC),” katanya dalam satu kenyataan media, Selasa lalu.
Wan Rosdy berkata, peruntukan itu merangkumi pembinaan kompleks pelawat, pusat penyelidikan menara tinjau, jambatan gantung, dewan serbaguna dan lain-lain kemudahan untuk keselesaan pengunjung.
Katanya, kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang memperuntukkan RM1 juta untuk kerja-kerja naiktaraf jalan masuk ke Taman Negeri Rompin yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Menurutnya, pembukaan semula taman negeri itu akan mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan kepada penduduk kampung sekitar daerah Rompin melalui aktiviti-aktiviti eko-pelancongan yang dijalankan.
Taman Negeri Rompin yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Endau Rompin ditubuhkan sejak Disember 2000 dengan keluasan 31,797 hektar dan ditutup selama tiga tahun bermula Ogos 2016 bagi kerja naiktaraf.
tamat