“TAKKAN NAK TARIK KERAKYATAN SUMAREH”
“TAKKAN NAK TARIK HAK KERAKYATAN SUMAREH”
KUALA LUMPUR: “Takkan sampai minta tarik semula kad pengenalan Sumareh?”
Itu antara pertanyaan bekas jurulatih Mohamadou Sumareh, Mohd Fauzi Pilus ketika diminta mengulas mengenai hukuman diberikan penyokong bola sepak apabila ada segelintir yang mahukan kerakyatan pemain naturalisasi pertama negara itu ditarik semula.
Ia susulan keputusan penggantungan dua tahun yang dikenakan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) ke atas pemain sayap itu selepas didapati melanggar terma dalam kontrak walaupun Sumareh didakwa sudah membatalkan kontrak bersama pasukan itu.
Jelas Fauzi yang pernah membimbing Sumareh ketika di PDRM, penghakiman yang diberikan sekelompok penyokong dianggap terlalu melampau dengan dia percaya pemain itu memiliki sebab yang munasabah untuk mengambil tindakan sedemikian sebelum berhijrah ke Thailand.
“Bagi saya, tidak logik kalau disebabkan isu ini, ada yang meminta kerakyatan Sumareh ditarik balik. Kita harus ingat dia adalah prospek bola sepak negara dan faktor dia diberi kerakyatan adalah kerana dia memiliki kemampuan untuk membantu skuad kebangsaan.
“Untuk itu, kita haruslah berfikiran terbuka. Takkan sebab satu perkara sahaja, kita terus lupakan apa yang sudah dan akan diberikan oleh Sumareh kepada bola sepak kita selepas ini.
“Sumareh dikatakan membatalkan kontrak sebab tidak dibayar gaji. Kalau betul dia tidak dibayar gaji, bagaimana dia mahu meneruskan kehidupan?,” kata Fauzi.
Dalam masa sama, Fauzi yang kini bertugas sebagai Pengarah Teknikal PDRM menyifatkan keputusan PBNP menggantung Sumareh sebagai satu tindakan yang terburu-buru.
“Kalau dilihat, PBNP seakan mendahului Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan juga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana kes membabitkan Sumareh ketika ini sudah dipanjangkan kepada FIFA.
“Mungkin PBNP pun ada alasan yang tersendiri apabila mengambil tindakan sedemikian tetapi seeloknya biarlah mengikut proses yang sewajarnya,” katanya
Sumber: BH Online