TAK SESUAI BUBAR PARLIMEN SEKARANG
Berita Nasional
TAK SESUAI BUBAR PARLIMEN SEKARANG
KUANTAN: Sekarang bukan masa sesuai untuk bubar Parlimen.
Demikian komen Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selepas ditanya mengenai kemungkinan cadangan untuk pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.
“Saya kira kerajaan perlu ambil kira situasi semasa dalam membuat sesuatu keputusan… ambil kira semua faktor termasuk situasi semasa COVID-19 selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.
“Kita bimbang jika bubar (Parlimen) sekarang, boleh mencetuskan gelombang baharu COVID-19 di Semenanjung… sekarang pun keadaan agak membimbangkan dan saya fikir kita kena ambil kira semua perkara dalam menentukan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Inovasi 2020 Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali.
Berdasarkan perkembangan semasa COVID-19 di Malaysia, hampir keseluruhan negeri dan wilayah di negara ini dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) dari Sabah.
Menerusi data terkini dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), antara negeri merekodkan jangkitan dari Sabah adalah Kedah sebanyak dua kes, Selangor (lima), Johor (satu) dan Sarawak (tiga) kes.
Selain itu, Kuala Lumpur dan Terengganu merekodkan tiga kes positif yang turut melibatkan individu pulang dari Sabah, manakala Pahang serta Perlis dua kes.
Empat negeri dan wilayah lain iaitu Labuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak masing-masing merekodkan satu kes.
tamat