Tak Sempat Elak, Treler Rempuh Motosikal – Dua Remaja Maut
Tak Sempat Elak, Treler Rempuh Motosikal – Dua Remaja Maut
JERANTUT – Dua remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah treler dalam kejadian menyayat hati di Kilometer 1, Jalan Jerantut-Benta, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 malam itu, pembonceng motosikal, Adam Syahnizam Abdul Satar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggangnya, Muhammad Aiman Hakim Mohd Khairul Rusdy meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Jerantut.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa datang secara tiba-tiba dari arah kiri jalan sebelum dilanggar sebuah treler yang sedang melalui laluan lurus dari Benta ke Bandar Jerantut.
“Pemandu treler, lelaki berusia 23 tahun yang memandu bersendirian tidak sempat mengelak sebelum melanggar motosikal dinaiki kedua-dua mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zukri berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk proses bedah siasat.
Menurutnya, pemandu treler itu telah ditahan untuk siasatan lanjut, namun ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati negatif.
“Polis juga akan memanggil beberapa saksi kejadian untuk dirakam keterangan dan menyeru orang ramai yang melihat kejadian tampil membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-SAHIH