TAK SALAH LANTIK 3 TIMB KETUA MENTERI
Berita Nasional
TAK SALAH LANTIK 3 TIMB KETUA MENTERI
KUALA LUMPUR: Pelantikan tiga Timbalan Ketua Menteri bagi Kerajaan Negeri Sabah tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan negeri itu, kata pakar Perlembagaan, Professor Dr Shamrahayu Abd Aziz.
Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, kebiasaannya keputusan untuk mempunyai Timbalan Ketua Menteri adalah keputusan yang dibuat oleh Ketua Menteri.
Katanya dalam Perlembagaan juga tidak dinyatakan mengenai jumlah khusus untuk jawatan Timbalan Menteri atau Timbalan Ketua Menteri, dan apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan cuma pelantikan Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Kerajaan Baharu Negeri Sabah 2020’ terbitan Bernama TV di sini malam tadi, semasa menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh hos program itu, Sherkawi Jirim sama ada pelantikan tiga Timbalan Ketua Menteri itu boleh dilakukan dan mengikut Perlembagaan negeri Sabah.